Cagamas kumpul dana sebanyak RM21.31 bilion pada 2024, turun 27% berbanding 2023 | DagangNews Skip to main content

Cagamas kumpul dana sebanyak RM21.31 bilion pada 2024, turun 27% berbanding 2023

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jan - Cagamas Bhd (Cagamas), mengakhiri tahun 2024 dengan mengumpul dana sebanyak RM21.31 bilion, menurun sebanyak 27% berbanding jumlah rekod tertinggi yang diperoleh pada tahun 2023.

 

Syarikat itu berkata, jumlah berkenaan termasuk RM2.59 bilion melalui penerbitan mata wang asing.

 

"Sokongan daripada pasaran antarabangsa membantu untuk mengatasi ketidaktentuan pasaran susulan perubahan dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), ketegangan geopolitik global dan ketidakpastian pilihan raya AS.

 

"Cagamas komited untuk memperkukuhkan pasaran gadai janji sekunder dan memajukan pembangunan pasaran modal pada tahun 2025 dan seterusnya," jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Cagamas yang menerbitkan bon dan sukuk untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan daripada institusi kewangan dan bukan kewangan, adalah penerbit instrumen hutang kedua terbesar di Malaysia, selepas kerajaan.

 

Tahun lalu, syarikat tersebut mengeluarkan perjanjian beli balik sosial pertamanya, dengan wang yang diperoleh daripada transaksi itu digunakan untuk membeli pinjaman dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Pada 2023, Cagamas mengumpul jumlah rekod tinggi RM29.3 bilion, meskipun pertumbuhan ekonomi domestik merosot akibat dasar kewangan global yang mengetat, keadaan kewangan yang terhad, perdagangan global yang lemah dan ketidakpastian berpanjangan geopolitik. - DagangNews.com