PTP sediakan peruntukan pelaburan RM3 bilion bagi tempoh lima tahun untuk tingkatkan kemudahan infrastruktur | DagangNews Skip to main content

PTP sediakan peruntukan pelaburan RM3 bilion bagi tempoh lima tahun untuk tingkatkan kemudahan infrastruktur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

GELANG PATAH 22 Mac - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) akan memperuntukkan RM3 bilion dalam masa lima tahun bagi mengembangkan kawasan zon bebas dan terminal pelabuhan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marco Neelsen berkata, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kapasiti mengendalikan TEU (unit bersamaan 20 kaki) kontena kepada 16.5 juta setahun berbanding kira-kira 13 TEU ketika ini.

 

Beliau berkata, pelaburan itu juga melibatkan pembangunan infrastruktur selain peralatan serta jentera baharu seperti kren dan kemudahan logistik di dalam kawasan pelabuhan.

 

Katanya, seterusnya pelaburan itu akan meliputi bidang automasi dan pendigitalan termasuk pembelian perisian baharu serta penggerak utama automotif yang mesra alam sekitar sebagai langkah menjimatkan bahan api serta elektrik selain mewujudkan kawasan yang lebih bersih.

 

"Rancangan pelaburan itu adalah bergantung kepada permintaan pelanggan, apa yang mereka perlukan akan disediakan di dalam PTP.

 

ptp
Marco Neelsen melihat operasi pemunggahan kontena yang sedang dijalankan di PTP.

 

"Beberapa projek lain juga diharap dapat dilaksanakan dengan lebih teratur memandangkan sudah tiada lagi sekatan COVID-19.

 

PTP
Marco Neelsen

 

"Rantaian bekalan juga sudah meningkat dan kami lihat projek-projek di PTP tidak akan tergendala dan akan siap tahun ini," katanya ketika lawatan media ke pelabuhan itu.

 

ptp
Pihak pengurusan memberi penerangan mengenai pemantauan operasi pemunggahan kontena.

 

PTP yang juga anak syarikat MMC Corporation Berhad merupakan pelabuhan ke-15 dalam senarai senarai 20 utama pelabuhan kontena di dunia.

 

Pelabuhan itu meliputi kawasan seluas 809.37 hektar terminal dan 607.02 hektar kawasan zon bebas yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat perkapalan utama dan pengendali kontena, menyediakan pengiriman di Malaysia dan luar negara yang luas ke pasaran global.

 

Mengulas mengenai sasaran pengendalian TEU pada tahun ini, Neelsen berkata, 2023 sukar dijangka berikutan pasaran global dijangka lebih lemah tetapi optimis separuh kedua tahun ini akan menjadi lebih baik.

 

"Untuk tahun ini, kami jangka agak lemah dan sukar dijangka kerana secara global ekonomi dijangka bergerak perlahan," katanya. - DagangNews.com