KUALA LUMPUR 16 Feb - Pelanggan Public Bank Berhad kini boleh membuat bayaran segera menggunakan Bayaran Rentas Sempadan DuitNow QR antara Malaysia dengan Indonesia dan Thailand menggunakan Perkhidmatan DuitNow QR Public Bank.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, perkhidmatan itu membolehkan pelanggan yang melakukan perjalanan ke luar negara bagi urus niaga dengan mudah dengan peniaga di Indonesia dan Thailand menggunakan aplikasi perbankan mudah alih Public Bank, PB engage.
“Bagi pelanggan dari Indonesia dan Thailand pula, mereka boleh menggunakan akaun perbankan di negara masing-masing untuk membuat bayaran kepada peniaga di Malaysia.
“Seiring dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk membuka sempadan antarabangsa menjelang bulan Mac, penggunaan bayaran rentas sempadan dan pautan DuitNow QR dengan Indonesia dan Thailand yang lebih mudah ini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi antara negara-negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ah Lek berkata, inisiatif itu adalah pencapaian baharu sejak bank itu melancarkan Penerimaan Bayaran Rentas Sempadan DuitNow QR yang pertama di Malaysia pada Jun 2021 bagi pembayaran QR dari Thailand dan Indonesia.
“Semua saiz perniagaan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) kini boleh menerima bayaran dengan cekap dan selamat melalui bayaran tanpa tunai yang berkesan daripada segi kos.
“Ini akan mengurangkan halangan untuk menjalankan perniagaan bagi MSME apabila sempadan ASEAN dibuka semula secara berperingat," katanya.
Beliau berkata, selain mempunyai pilihan yang lebih mudah dan selamat untuk membuat bayaran, pelanggan turut menikmati kadar pertukaran asing yang lebih baik untuk apa yang mereka belanjakan seterusnya menyumbang kepada penyelesaian terbaik untuk semua.
Public Bank mengecualikan fi urus niaga bagi pelanggan runcit dan peniaga PBe QR termasuk Bayaran Rentas Sempadan DuitNow QR ke dan dari Indonesia sehingga 31 Disember, 2022. - DagangNews.com