PublicInvest naikkan unjuran penambahan buku pesanan FY24 Kerjaya Prospek kepada RM1.8 bilion | DagangNews Skip to main content

PublicInvest naikkan unjuran penambahan buku pesanan FY24 Kerjaya Prospek kepada RM1.8 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menyemak naik sasaran penambahan buku pesanan FY24 Kerjaya Prospek Group Bhd sebanyak 20% kepada RM1.8 bilion dan pada masa sama meramalkan kemenangan projek tambahan pada suku keempat tahun ini.

 

Katanya, kejayaan kumpulan itu meraih kontrak bernilai RM293 juta daripada anak syarikat UEM Sunrise Bhd semalam merupakan projek kelapan pada tahun ini dan menjadikan tempahan terkumpul sehinggan kini sebanyak RM1.55 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah itu mengatasi sasaran penambahan kerja FY24 sebanyak RM1.5 bilion.

 

"Kami menaikkan unjuran pendapatan sebanyak 2.2% untuk FY24-FY6 disebabkan pelarasan yang dibuat terhadap penambahan projek kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM293 juta daripada anak syarikat UEM Sunrise bagi pembinaan bangunan kediaman di Kuala Lumpur

 

Terdahulu, kontrak baharu itu melibatkan pembinaan bangunan 57 tingkat dengan 1,126 unit kediaman dan struktur parkir setinggi lapan tingkat

 

Pembinaan dijadualkan bermula pada 17 September 2024, dengan garis masa siap selama 38 bulan.

 

PublicInvest berkata, walaupun lebih 80% kemenangan pekerjaan kumpulan itu datang daripada syarikat berkaitannya (Eastern & Oriental dan Kerjaya Prospek Property), kami menjangkakan kumpulan memperoleh lebih banyak projek luar bagi mengurangkan risiko penumpuan bergerak ke hadapan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM2.00 sesaham," katanya.- DagangNews.com