KUALA LUMPUR 5 Sept - Public Investment Bank (PublicInvest) optimis terhadap prospek Magni-Tech Industries Bhd didorong peningkatan kesedaran pengguna terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri.
Katanya, peningkatan kesedaran itu seharusnya diterjemahkan kepada peningkatan jualan pakaian sukan yang lebih kukuh untuk kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berdepan cabran perbelanjaan pengguna yang lemah untuk jangka pendek, pihaknya masih berpandangan positif terhadap pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu.
"Prospek itu disokong peningkatan kesedaran pengguna tentang kesihatan dan kesejahteraan, serta peningkatan dalam kod pakaian kasual di tempat kerja dan tetapan sosial, yang telah membantu meningkatkan jualan pakaian sukan.
"Hasil Magni-Tech sebahagian besarnya diseumbangkan segmen pengeluaran serta eksport pakaian dan mereka merupakan kontraktor untuk jenama global seperti Nike dan Lacoste. Syarikat itu juga terlibat dalam produk pembungkusan plastik," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih teras sebanyak RM44.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2024 (1QFY25) adalah melebihi jangkaan, dan jualan pakaian berkemungkinan kekal kukuh pada masa hadapan, kata PublicInvest Research, satu-satunya syarikat penyelidikan yang meliputi saham itu.
PublicInvest menjangkakan Magni-Tech memperoleh keuntungan bersih teras sebanyak RM142.6 juta daripada hasil RM1.45 bilion untuk FY25.
Katanya, syarikat itu juga dijangka membayar dividen yang stabil dengan hasil sebanyak 7.2% untuk FY25.
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.02 sesaham.- DagangNews.com