PublicInvest positif dengan prospek QL Resources didorong pertumbuhan kukuh dalam 3 segmen peniagaan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest positif dengan prospek QL Resources didorong pertumbuhan kukuh dalam 3 segmen peniagaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - PublicInvest Research positif dengan prospek QL Resources Berhad berdasarkan pertumbuhan yang kukuh dalam segmen pembuatan produk marin (MPM), penternakan bersepadu (ILF) dan rangkaian kedai serbaneka (CVS).

 

Firma itu menjangkakan, perkembangan itu dipacu eksport yang lebih tinggi untuk produk berasaskan surimi selain pembukaan semula ekonomi akan memacu jualan Family Mart.

 

"Kami juga percaya bahawa harga jualan telur yang lebih tinggi di Vietnam dan Indonesia ditambah dengan subsidi kos yang berterusan untuk operasinya di Malaysia akan membantu mengurangkan kesan kenaikan kos makanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan segmen MPM akan menerima hasil yang lebih baik berdasarkan kepada permintaan tinggi daripada pasaran domestik serta eksport daripada Vietnam, Rusia dan India.

 

Walaupun kos bahan api selain impak kenaikan gaji minimum akan memberi kesan kepada margin keuntungan, namun firma itu merasakan skala ekonomi semasa dalam aktiviti perikanan akan menimbangi kesan kenaikan itu.

 

"Kumpulan itu memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk membina kilang baharu berasaskan produk surimi di Surabaya dengan sasaran permulaan operasi pada 4QFY24," katanya.

 

Firma itu percaya margin keuntungan yang kukuh dalam segmen ILF adalah berdaya tahan berdasarkan dagangan jumlah bahan makanan yang didagangkan bagi memenuhi permintaan.

 

"Kumpulan itu juga sedang berusaha untuk mengembangkan pengeluaran telur serataunya (Indonesia: 1.4 juta telur sehari menjelang 2026 dan Vietnam: 1.8 juta telur sehari menjelang 2024), memandangkan penggunaan telur yang semakin meningkat apabila taraf hidup bertambah baik.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu akan memberi fokus kepada konsep kedai baharu “Food Superstore” dengan tumpuan kepada makanan sedia untuk dimakan selain merancang untuk membuka 300 mesin layan diri Family Mart dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

"Rancangan pengembangan itu akan disokong oleh pembukaan dapur bersepadu pada Jun 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM6.00 sesaham. - DagangNews.com