PublicInvest positif terhadap strategi pertumbuhan DRB-Hicom ke arah mencapai sasaran jualan 500,000 unit kenderaan menjelang 2050 | DagangNews Skip to main content

PublicInvest positif terhadap strategi pertumbuhan DRB-Hicom ke arah mencapai sasaran jualan 500,000 unit kenderaan menjelang 2050

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal positif terhadap strategi pertumbuhan DRB-Hicom Berhad ke arah mencapai sasaran jualan sehingga 500,000 unit kenderaan menjelang 2050 dengan 50% daripadanya adalah kenderaan tenaga baharu (NEV) dan pasaran eksport.

 

Katanya, sasaran itu akan didorong perkongsiannya bersama Geely dan pembangunan projek Lembah Automatif Berteknologi Tinggi  (AHTV) yang akan mengubah Tanjung Malim menjadi hab automotif global bagi NEV.

 

"Walau bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran pendapatan berubah buat masa ini kerana kami tidak menjangkakan sebarang kesan jangka pendek daripada projek ini," katanya.

 

Katanya, kerjasama itu merangkumi rumusan automotif dan mobiliti yang meluas merentas rantaian nilai, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi, kepada kluster pembuatan serta perkhidmatan sokongan dan ekosistem yang berkaitan termasuk logistik, universiti penyelidikan, institusi latihan dan pembelajaran dalam bandar pintar. 

 

Kira-kira 50 vendor dijangka berpindah ke kemudahan baharu di AHTV dalam beberapa tahun akan datang. 

 

BACA JUGA: DRB-Hicom, Geely muktamadkan rangka kerja pembangunan AHTV

 

AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai RM32 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang dan mengembangkan keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan teknologi tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Proton menyasarkan untuk meningkatkan jualan kepada 310,000 unit menjelang 2030 daripada 141,000 unit pada 2022 dan 104,000 unit pada YTD Ogos 2023.

 

Bagi jangka panjang katanya, Proton mempunyai sasaran jualan sebanyak 500,000 unit menjelang 2035, di mana 50% daripadanya adalah NEV dan untuk pasaran eksport.

 

"Kapasiti pengeluaran semasa PROTON ialah 330,000 unit setahun, terdiri daripada 250,000 unit untuk loji Tanjung Malim dan 80,000 unit untuk kilang di Shah Alam.

 

"Proton telah melabur RM4 bilion dalam tempoh 2018 hingga 2023 dan merancang untuk melabur RM6 bilion antara 2024-2030 untuk mencapai sasaran jualan yang bercita-cita tinggi," katanya

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham. - DagangNews.com