PublicInvest semak turun unjuran pendapatan FY22-FY24 Apex Equity antara 6% hingga 10% | DagangNews Skip to main content

PublicInvest semak turun unjuran pendapatan FY22-FY24 Apex Equity antara 6% hingga 10%

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - PublicInvest Research menyemak turun unjuran pendapatan untuk Apex Equity Holdings Berhad antara 6% hingga 10% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga FY24.

 

Firma itu berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan kenaikan kadar faedah semasa akibat tekanan inflasi.

 

Katanya, kumpulan itu memperoleh sebahagian besar pendapatannya daripada perniagaan pembrokeran saham.

 

Firma itu menjangkakan prestasi kumpulan yang lebih lemah pada 2HFY22 berikutan penurunan mendadak dalam jumlah dan nilai dagangan di Bursa Malaysia.

 

"Dengan Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman untuk kali ketiga berturut-turut kepada 2.5% pada awal bulan ini manakala ringgit telah menyusut 10% tahun setakat ini, kami percaya kerancakan pasaran modal domestik akan kekal lemah dalam jangka pendek," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keputusan 2QFY22 menyaksikan untung bersihnya jatuh 83.35% kepada RM986,000 berbanding RM5.92 juta setahun sebelumnya kesan daripada lonjakan kadar cukai berkesan kepada 38.8%.

 

"Walaupun kami percaya kadar cukai seharusnya kembali normal pada 2HFY22, jangkaan aktiviti pasaran yang semakin merosot telah mendorong kami untuk mengurangkan unjuran pendapatan FY22 sebanyak 10% dan 6% untuk FY23 serta FY24," katanya.

 

Berdasarkan ketidaktentuan yang menyelubungi ekonomi dengan persekitaran kadar faedah yang meningkat, firma penyelidikan itu percaya pasaran ekuiti akan kekal perlahan menjelang 2023.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.05 sesaham - DagangNews.com