Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kedah penyumbang eksport utama Malaysia pada Mei 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kedah penyumbang eksport utama Malaysia pada Mei 2024 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun -  Lima negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kedah mencatatkan sumbangan 80.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2024, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.1%, diikuti Johor (23.3%), Selangor (18.2%), Sarawak (7%) dan Kedah (4.4%).

 

Beliau berkata, jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2024 bernilai RM246.3 bilion dengan nilai eksport RM128.2 bilion dan import bernilai RM118.1 bilion.

 

 

Katanya, prestasi eksport Malaysia pada Mei  tahun ini meningkat 7.3% berbanding RM8.7 bilion pada tahun lalu.

 

"Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM4.6 bilion), Pulau Pinang (+RM2.6 bilion), Selangor (+RM1.1 bilion), Perak (+RM779.7 juta), Sabah (+RM711.9 juta),  Pahang (+RM549.8 juta), Terengganu (+RM533.5 juta), Negeri Sembilan (+RM340.9 juta) dan Kedah (+RM332.4 juta). 

 

dosm

 

"Bagaimanapun, nilai eksport menurun di Kuala Lumpur sebanyak RM1.3 bilion, Labuan (-RM633.1 juta), Sarawak  (-RM624.9 juta), Kelantan (-RM360.9 juta), Melaka (-RM201.1 juta) dan Perlis (-RM27.2 juta)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mengulas mengenai prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, import pada Mei 2024 meningkat 13.8% kepada RM14.3 bilion berbanding bulan yang sama pada 2023. 

 

Beliau berkata, peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM5 bilion), Pulau Pinang (+RM3.1 bilion), Kuala Lumpur (+RM2.1 bilion), Kedah (+RM1.5 bilion), Melaka (+RM1.1 bilion), Selangor (+RM1.1 bilion), Negeri Sembilan (+RM816.4 juta), Labuan (+RM92.1 juta), Pahang (+RM89.2 juta), Kelantan (+RM39.6 juta), Perak (+RM34.3 juta) dan Perlis (+RM11.4 juta).

 

"Bagaimanapun, nilai import jatuh di Sarawak sebanyak RM659.3 juta, Terengganu (-RM157 juta) dan Sabah (-RM77.2 juta).

 

"Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.4%, diikuti oleh Johor (23.9%), Pulau Pinang (20%), W.P. Kuala Lumpur (7.7%) dan Kedah (5.5%)," katanya. - DagangNews.com