Purata gaji, upah pada 2020 susut kali pertama dalam tempoh 10 tahun | DagangNews Skip to main content

Purata gaji, upah pada 2020 susut kali pertama dalam tempoh 10 tahun

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Purata gaji dan upah bulanan pada 2020 susut 9%, penurunan kali pertama direkodkan sejak 2020 disebabkan krisis pandemik COVID-19. 

 

Malah, gaji dan upah juga menurun kepada RM2,933 pada tahun lalu setelah 2 tahun berturut-turut mencatat lebih daripada RM3,000. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dari sudut gaji dan upah, banyak perniagaan memilih untuk melaksanakan cuti tanpa gaji atau pemotongan gaji apabila operasi perniagaan tidak dapat dijalankan seperti biasa apabila perintah kawalan pergerakan dilaksanakan bagi membendung penularan wabak itu. 

 

Selain itu, katanya, sebahagian besar penduduk bekerja di negara ini adalah dalam kategori separa mahir, kebanyakannya mungkin menghadapi kesukaran dalam meneruskan pekerjaan mereka secara jarak jauh atau digital.

 

"Pada 2020, bilangan penerima gaji dan upah meningkat dengan kadar perlahan sebanyak 2.1% kepada 9.4 juta orang berbanding 9.2 juta pada 2019.

 

"Bagi tempoh sama, penengah gaji dan upah bulanan mencatatkan penurunan 2 angka sebanyak 15.6% daripada RM2,442 kepada RM2,062," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia
Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

 

 

Purata gaji dan upah bulanan bagi kedua-dua pekerja lelaki dan perempuan telah menurun pada tahun lalu ekoran kesan daripada penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

 

Berdasarkan penemuan kaji selidik itu, penengah gaji bulanan bagi lelaki konsisten lebih tinggi berbanding perempuan sejak 2010. 

 

Namun, pada 2020, gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki adalah RM2,093, jatuh 15.5% berbanding RM2,477 pada tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, nilai penengah bagi pekerja perempuan turun 14.8% kepada RM2,019 berbanding RM2,370 pada 2019.

 

Purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki juga pada 2020 jatuh sebanyak RM341 atau -10.3% kepada RM2,963 manakala bagi pekerja perempuan pula jatuh RM219 atau -7% kepada RM2,889 berbanding tahun sebelumnya. 

 

Dari segi strata, penengah dan purata gaji dan upah bulanan pada 2020 bagi pekerja di kedua-dua bandar dan luar bandar menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

 

Penengah gaji dan upah bagi pekerja bandar mencatatkan pertumbuhan negatif 2 angka dengan 11.6% merekodkan RM2,268 manakala nilai penengah bagi pekerja di luar bandar menurun sebanyak 14.1% kepada RM1,340 berbanding RM1,560 pada 2019.

 

Begitu juga, purata gaji dan upah bulanan bagi bandar dan luar bandar juga merosot pada 2020. 

 

Kadar purata bulanan bagi pekerja di bandar menurun sebanyak 9.3% kepada RM3,089 manakala luar bandar menurun sebanyak 5.5% kepada RM2,086 berbanding tahun sebelumnya, RM2,208.

 

Mohd. Uzir berkata, dengan norma baharu menjadi satu kelaziman, model kreatif perniagaan digunakan bagi meminimumkan kerugian. 

 

"Bagi mengurangkan impak tersebut, kerajaan telah melancarkan beberapa dasar dan inisiatif termasuk Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (Penjana), Program Subsidi Upah dan pelbagai geran dan program pembiayaan," katanya. - DagangNews.com