PUSAKA, Allianz Malaysia bawa rakyat telusuri sejarah negara | DagangNews Skip to main content

PUSAKA, Allianz Malaysia bawa rakyat telusuri sejarah negara

sejarah

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Julai - Usaha ilmiah berkonsepkan sejarah bakal dijayakan oleh Pertubuhan Kebudayaan PUSAKA dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menerusi Projek Bina Bangsa yang akan membawa masyarakat mengenali sejarah pembentukan Malaysia dengan lebih mendalam.

Ketua dan juga penulisnya, Eddin Khoo berkata, projek tersebut akan menerbitkan 10 buah buku yang menjadi tanda aras kepada pembentukan Malaysia dengan menampilkan 10 tajuk berbeza.

"Sejak akhir-akhir ini, kesedaran serta minat untuk meneroka sejarah semakin berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia. Melalui usaha sebegini, PUSAKA berharap untuk membawa khalayak ramai meneroka sebuah renungan yang bermakna bagi mendalami asas-asas pembentukan sebuah negara.

"Kami menekuni usaha untuk terus menyampaikan sejarah, naratif persekitaran, perkaitannya dengan keadaan semasa serta tujuan setiap tajuk berbangkit dalam suasana malar dan juga cabaran semasa yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam sebuah masyarakat majmuk dan rumit," jelasnya dalam satu kenyataan.

Eddin Khoo
EDDIN Khoo

 

Buku tersebut akan diterbitkan secara berperingkat antara bulan Ogos hingga Disember 2020 dan akan dipasarkan di kedai buku terpilih.

10 tajuk buku tersebut ialah Rukun Negara, Kesatuan Malaya, Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Pembentukan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Undang-undang Melaka, Perjanjian Pangkor, Enakmen Tanah Rizab Melayu 1913, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020.

Projek Bina Negara juga bakal menerbitkan siri video dan sesi perbincangan dalam talian berkisarkan 10 tajuk utama seperti yang dirancang.

Pendekatan itu bertujuan menggalakkan penglibatan generasi muda Malaysia termasuk para pelajar, kumpulan sivil, pengamal media, wakil masyarakat serta memperluas jaringan wacana terhadap sejarah negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir memberitahu, pihaknya percaya dengan penglibatan perkhidmatan perlindungan dan juga sebagai ahli korporat di Malaysia, agen insurans juga boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kelestarian perpaduan negara.

Zakri Khir
ZAKRI Khir

 

"Sejarah Malaysia yang menakjubkan selalu sahaja tidak dihargai sepenuhnya. Buku teks di sekolah hanya sekadar memberi gambaran ringkas tentang perjuangan getir perwira negara dalam mencapai kemerdekaan.

"Memang wujud satu keperluan untuk menyemai minat terhadap sejarah dan memupuk sifat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya kepada generasi muda. Saya begitu teruja dengan usaha sebegini dan Allianz Malaysia begitu bangga bekerjasama dengan PUSAKA dalam mencapai impian sebegini," jelasnya. - DagangNews.com