QL Resources dalam landasan tepat buka 300 cawangan FamilyMart | DagangNews Skip to main content

QL Resources dalam landasan tepat buka 300 cawangan FamilyMart

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - QL Resources Bhd. berada di landasan tepat untuk memenuhi sasarannya membuka 300 cawangan FamilyMart menjelang Mac 2022 terutama di luar kawasan Lembah Klang, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Ketika ini, kumpulan telah membuka 241 cawangan sejak mula membawa masuk jenama popular kedai serbaneka dari Jepun ini pada 2017. 

 

Baru-baru ini, QL Resources telah memperkenalkan konsep mesin layan diri FamilyMart dengan pelbagai snek dan minuman dai stesen Shell Karak Highway 2. 

 

"Malah, kumpulan turut menyasarkan untuk melancarkan 300 mesin layan diri ini dalam tempoh 3 tahun. Pada masa sama, dapur berpusat kedua QL Resources juga dijangka siap pada pertengahan Disember ini.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan prestasi bagi segmen FamilyMart adalah lebih baik pada suku akan datang, terutama apabila sekatan pergerakan dilonggarkan," jelas penganalisisnya, Syifaa’ Mahsuri Ismail dalam nota kajian hari ini. 

 

Baru-baru ini, pengurusan mengadakan taklimat dengan penganalisis untuk meninjau perkembangan kumpulan bagi tahun ini.

 

Bagaimanapun, HLIB Research masih mengekalkan pandangan neutral memandangkan kurangnya perkembangan positif. 

 

Menurut Syifaa' Mahsuri, prospek pada separuh kedua dijangka terus kekal mencabar memandangkan rantaian bekalan terjejas, semakin menambah tekanan kepada segmen pembuatan produk marin. 

 

Katanya, di sebalik permintaan kukuh bagi produk sejuk beku, jumlah jualan dijangka kekal lemah disebabkan faktor musim dan pendaratan ikan yang rendah.

 

"Namun, pengurusan menaruh harapan harga telur di Semenanjung Malaysia akan meningkat pada separuh kedua tahun kewangan 2022 dan juga pembukaan rangkaian hotel, restoran dan kafe walaupun margin terus tertekan apabila segmen penternakan bersepadu (ILF) terkesan dengan harga makanan ternakan yang tinggi. 

 

"Kami juga menjangkakan keuntungan yang lebih baik bagi segmen minyak dan tenaga bersih berikutan harga minyak sawit yang tinggi sejak pertengahan Jun lalu," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, HLIB Research mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham QL Resources dengan harga sasaran pada RM5.73. - DagangNews.com