KUALA LUMPUR 23 Mac - Rakuten Trade mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kerjaya Prospek Group Berhad pada harga sasaran (TP) RM1.70.
Firma itu menjangkakan, pendapatan kumpulan itu bagi FY23 dan FY24 bertambah baik sebanyak 23.5% dan 20% kepada RM139.2 juta dan RM167 juta disokong pengiktirafan hasil yang lebih tinggi.
Firma itu berkata, kumpulan itu mempunyai dua projek pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM630 juta.
"Pembinaan projek-projek ini telah dimulakan, dengan dijangka siap pada 1HFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, buat masa sekarang, kumpulan itu mempunyai 36 projek yang sedang dijalankan termasuk Maya Bay Residences Gamuda Land (T12), VIVO Aspen Vision City, Bloomsvale Mixed Commercial Development-KP Property, Conlay 491 Patsawan Properties dan Astrum Ampang Nikmat Merpati.
Katanya, kumpulan itu mempunyai kadar tempahan pembinaan tertunggak sebanyak RM4.7 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Berdasarkan nisbah pembayaran sebelum ini sebanyak 20%, kami menjangka kumpulan itu akan membayar dividen sebanyak 2.3 sen dan 2.7 sen untuk FY23 dan FY24 (masing-masing), diterjemahkan kepada hasil masing-masing sebanyak 1.9% dan 2.3%.
"Kunci kira-kira kumpulan itu kukuh dengan tunai bersih sebanyak RM245 juta pada FY22.
"Saranan 'beli' itu adalah berdasarkan penyelesaian pembinaan yang inovatif dan struktur kos yang cekap yang menghasilkan margin keuntungan melebihi purata, pasukan pengurusan dengan rekod prestasi cemerlang dan keupayaan untuk memenangi kontrak luar secara konsisten," katanya. - DagangNews.com