Rakyat berbelanja RM3 juta ketika 11.11 - BNM | DagangNews Skip to main content

Rakyat berbelanja RM3 juta ketika 11.11 - BNM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Satu perkara menarik yang dibangkitkan Bank Negara Malaysia (BNM) ketika sidang akhbar prestasi ekonomi suku ketiga 2020 secara maya hari ini, adalah 'keterujaan' rakyat Malaysia membeli-belah ketika jualan mega 11.11 baru-baru ini. 

 

Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, transaksi dalam talian pada hari tersebut mencecah rekod setinggi RM3 juta, lebih tinggi daripada transaksi harian sekitar RM1 juta. 

 

"Ini menunjukkan kepada kita dua perkara. Pertamanya, momentum membeli-belah secara dalam talian semakin meningkat dan keduanya, rakyat masih berbelanja," katanya. 

 

Jelasnya, perbelanjaan pengguna ketika kesan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan baru-baru ini adalah kurang terjejas berbanding PKP kali pertama pada suku kedua memandangkan banyak sektor ekonomi sudah kembali beroperasi. 

 

Malah, BNM mendapati penggunaan kad debit meningkat kepada 26.8% ketika PKPB dilaksanakan 14 Oktober hingga 10 November lalu berbanding 3 Januari hingga 6 Februari 2020. 

 

"Membeli-belah dalam talian juga meningkat 34.5% dalam tempoh PKPB itu," katanya.   

 

Beliau menyifatkan perbelanjaan yang tinggi terutama menerusi tanpa tunai ini secara tidak langsung menggambarkan pemulihan terhadap pasaran tenaga buruh.  

 

Bagi perbelanjaan pengguna ini, katanya, adalah penting untuk kembali melihat kepada pemacu asasnya iaitu pertumbuhan pendapatan. 

 

"Apabila aktiviti ekonomi kembali beroperasi dan permintaan luaran meningkat, pendapatan yang lebih besar akan meningkat secara beransur-ansur dan menyokong perbelanjaan," katanya. 

 

BNM menjangkakan kadar pengangguran akan kembali turun dan pasaran pekerjaan pulih berdasarkan prestasi ekonomi suku semasa ini

 

Kadar pengangguran pada suku ketiga adalah lebih rendah pada 4.7% berbanding 5.1% pada suku kedua tahun ini tetapi pelaksanaan semula PKPB akan memberi sedikit kesan kepada pasaran buruh negara.

 

Mengenai perkara ini, Timbalan Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dalam sidang akhbar itu menjelaskan, langkah kerajaan memberi pelbagai inisiatif kepada majikan dapat mengurangkan risiko peningkatan kadar pengangguran.

 

"Antara inisiatif ini termasuklah pemberian subsidi dan juga dana kepada majikan dapat membantu mengekalkan pekerjaan. 

 

"Selain itu, pengambilan serta penempatan semula pekerjaan turut memberi impak positif dalam menangani masalah ini," katanya. - DagangNews.com