Rakyat Malaysia ‘menabung’ hanya bagi memenuhi keperluan asas | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia ‘menabung’ hanya bagi memenuhi keperluan asas

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos -  Faktor rakyat Malaysia ‘menabung’ dan melabur telah berubah ke arah sekadar memenuhi keperluan hidup berbanding untuk keperluan anak-anak atau sebagai simpanan masa depan, pada 11 tahun lalu.

Pada 2008, memiliki akaun simpanan atau insuran dianggap satu keperluan dalam perancangan mereka.

Tetapi, kajian oleh Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) mendapati, penghindaran risiko menjadi pengaruh utama rakyat negara ini memilih untuk menabung dan melabur. 

“Rakyat Malaysia semakin celik kewangan. Namun, kos sara hidup kian meningkat dan trend ini dijangka berterusan. 

“Ini memberi cabaran kepada mereka untuk menyimpan daripada pendapatan yang diperoleh, apatah lagi diperuntukkan untuk pelaburan. 

“Terdapat perbezaan yang ketara apabila dibandingkan hasil kajian ketika 2008 dan 2019,” jelas FIMM menerusi laporan ‘National Survey' yang dikeluarkannya.

Kajian itu dijalankan ke atas 3,317 rakyat Malaysia di seluruh 13 negeri dan kebanyakan responden berumur lingkungan 30 hingga 49 tahun.

Responden dipecahkan kepada dua kategori iaitu pelabur (mereka yang melabur dalam Sistem Unit Amanah (UTS) dan Sistem Persaraan Swasta (PRS) atau pelaburan lain) dan bukan pelabur (mereka yang melabur dalam pelaburan selain UTS dan PRS).

43% daripada responden bukan pelabur mempunyai simpanan yang hanya cukup untuk menampung perbelanjaan makanan, tempat tinggal dan pakaian. 

Hanya 16% daripada responden pula mempunyai pendapatan yang cukup untuk membuat simpanan dan bagi tujuan pelaburan. 

“Aset dan hutang menjadi faktor utama kepada keupayaan mereka untuk menabung dan melabur. 

“Pinjaman peribadi antara lima teratas jenis pinjaman di mana kebanyakan responden berada di antara umur 30 hingga 39 tahun, berpendapatan di bawah RM7,000. 

“Ada kemungkinan bahawa peningkatan kos sara hidup adalah faktor pendorong ke arah pendedahan pinjaman peribadi yang tinggi," tambah FIMM 

Antara kesemua responden, lebih 50% daripada mereka gagal memenuhi 10% simpanan daripada pendapatan seperti disarankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). - DagangNews.com