KUALA LUMPUR 3 Sept. - Rakyat Malaysia menunjukkan harapan yang tinggi terhadap penghasilan vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun ini.
Harapan tersebut sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan lapan daripada 27 negara lain.
Pengarah Urusan IPSOS bagi Malaysia, Arun Menon berkata, pendapat orang ramai memainkan peranan penting kepada kejayaan penghasilan vaksin ketika negara berusaha menghasilkannya.
"Rakyat Malaysia berdiri bersama-sama negara maju lain dengan keyakinan penghasilan vaksin lebih awal.
"Pihak berkepentingan juga harus peka dengan kebimbangan masyarakat awam terhadap kesan sampingan dan keberkesanan vaksin tersebut," katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik Malay Mail.
Tinjauan yang dijalankan badan penyelidikan pasaran multinasional IPSOS itu menunjukkan 48% rakyat Malaysia optimis terhadap penghasilan vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun ini.
Peratusan itu yang dicatatkan itu menunjukkan rakyat Malaysia lebih optimis berbanding rata-rata negara global lain yang hanya mencapai peratusan 41%.
Negara yang paling optimis adalah China dengan 87%, diikuti oleh Arab Saudi (75%) dan India (74%).
Manakala beberapa negara barat dan Jepun kurang memberi harapan terhadap penghasilan vaksin pada tahun ini.
Hasil tinjauan sama turut menunjukkan 86% rakyat Malaysia yakin akan memperoleh vaksin tersebut.
Dalam pada itu, jumlah rakyat Malaysia yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin juga adalah tinggi.
36% daripada jumlah responden menganggap mereka tidak berisiko terhadap jangkitan serta kebimbangan terhadap keberkesanan vaksin tersebut.
Tinjuan tersebut dijalankan pada 24 Julai hingga 7 Ogos 2020 melalui platform tinjauan dalam talian yang melibatkan seramai 19,519 responden dewasa dari pelbagai negara termasuk Malaysia. - DagangNews.com