Rakyat tidak perlu bimbang Bajet 2023, kerajaan ada peruntukan untuk laksana - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Rakyat tidak perlu bimbang Bajet 2023, kerajaan ada peruntukan untuk laksana - Tengku Zafrul

KUALA SELANGOR 20 Okt - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara kerana kerajaan mempunyai peruntukan untuk melaksanakannya.

 

Beliau berkata setiap belanjawan yang dirancang oleh kerajaan adalah berdasarkan unjuran hasil tahunan yang akan diterima negara pada tahun tersebut. 

 

“Itu adalah unjuran hasil. Seandainya kita tiada duit, market akan crash (menjunam jatuh), ringgit akan jatuh tengok apa yang berlaku kepada United Kingdom.

 

“Sekiranya rakyat tiada keyakinan terhadap Bajet 2023 terutamanya pasaran kewangan dan dalam kalangan pelabur sudah pasti kita sudah tahu...tapi setakat ini tiada (tiada keyakinan terhadap Bajet 2023).

 

“Rakyat tidak perlu gundah-gulana ...seperti biasa, bajet yang disediakan pada tahun 2020 ,2021, 2022, 2023 memang ada peruntukan untuk bajet pada tahun tersebut untuk dilaksanakan,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia negeri Selangor di Puncak Alam, di sini hari ini. 

 

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ketika ditanya sama ada Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022 akan dibentangkan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 seandainya berlaku perubahan, beliau berkata, segala keputusan bergantung kepada keputusan Kabinet. - DagangNews.com