Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 12 Jan - RAM Rating Services Berhad menjangkakan asas kredit Cagamas Berhad akan kekal kukuh berdasarkan kepada amalan perniagaan konservatif mereka.
Pada masa sama, syarikat berkenaan sedang menilai potensi untuk mengubah pelan perniagaan jangka pendek dan sederhana mereka dalam usaha untuk kekal relevan di dalam pasaran.
RAM Rating melihat pelan perniagaan baharu Cagamas itu akan kekal relevan di dalam pasaran namun akan melibatkan risiko yang tinggi.
"Sebagai contoh, produk penyelesaian pengurusan modal melibatkan sokongan daripada sekuriti hutang yang diterbitkan oleh institusi kewangan," katanya dalam satu kenyataan.
RAM Rating berkata, produk yang ditawarkan Cagamas itu masih berada pada skala kecil dan ia tertakluk kepada pengurusan risiko yang ditetapkan.
Selepas mengambil kira kepentingan strategik Cagamas sebagai pembekal modal kepada pasaran domestik dan antara penerbit bon korporat serta sukuk, RAM Rating juga percaya kerajaan akan memberi sokongan sekiranya berlaku masakah kewangan pada masa akan datang.
Difahamkan, Cagamas juga gembira dengan kemudahan sedia ada untuk memasuki pasaran modal domestik berikutan status separa kerajaan yang dimiliki walaupun pada dasarnya mereka bergantung kepada pasaran borong bagi pembiayaan.
Syarikat itu juga terdedah kepada risiko kecairan serta pembiayaan semula yang minimum kerana memiliki pengurusan aset yang cemerlang.
Cagamas dilihat akan berdepan cabaran dalam pasaran modal dan pertumbuhan yang perlahan dalam industri perbankan. - DagangNews.com