Ramai ‘kejar’ beli kereta sebelum pengecualian SST berakhir | DagangNews Skip to main content

Ramai ‘kejar’ beli kereta sebelum pengecualian SST berakhir

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Jumlah keseluruhan kenderaan yang dikeluarkan atau TIV pada Disember tahun lalu mencatatkan angka kedua tertinggi dalam sejarah TIV di Malaysia. 

 

Mana tidaknya, pelanggan masing-masing ‘berkejar’ untuk membeli kenderaan sebelum berakhirnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sepatutnya tamat pada penghujung 2020. 

 

Namun, susulan pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga tahun ini, Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mengunjurkan TIV 2021 akan lebih mengukuh sekitar 580,000 hingga 600,000 unit.

 

“Ini terutamanya didorong pengecualian SST yang dilanjutkan dan pelancaran kenderaan baharu.

 

“Oleh itu, penutupan dan / atau gangguan rantaian bekalan yang tidak dijangka (iaitu risiko) akan mempengaruhi ramalan. 

 

“Saranan ‘pembelian saham’ utama kami adalah Bermaz Auto Berhad, MBM Resources Berhad, Sime Darby Berhad dan UMW Berhad, dari perspektif penilaian, hasil dividen dan potensi penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.

 

Maybank IB berkata, ramalan TIV dibuatnya bagi tahun ini adalah realistik kerana hanya menjangkakan purata bulanan sebanyak 48,000 hingga 50,000 unit.

 

“Dalam tempoh pengecualian SST pada Julai hingga Disember 2020, TIV bulanan mencatatkan antara 53,000 dan 69,000 unit, purata 59,000 unit sebulan.

 

“Oleh itu, ramalan TIV tahun 2021 kami akan seiring prestasi tahun 2017 dan 2018 sebanyak 577,000 hingga 599,000 unit.

 

“Penilaian kami menjangkaui MAA (570,000 unit) dan Fitch Solution (550,000 unit),” tambah Maybank IB.

 

Maybank ulas lanjut, walaupun terdapat keyakinan terhadap peningkatan prestasi sektor itu pada tahun ini, namun firma penyelidik itu masih berwaspada terhadap kemungkinan penurunan akibat gangguan rantaian bekalan dan penutupan operasi pemain industri kerana COVID-19. - DagangNews.com