Ranhill disenarai pendek dalam Pakej 2 LSS@MEnTARI | DagangNews Skip to main content

Ranhill disenarai pendek dalam Pakej 2 LSS@MEnTARI

Ranhill Utilities Berhad (Ranhill)

KUALA LUMPUR 16 Mac. - Syarikat penyedia perkhidmatan utiliti dan air, Ranhill Utilities Berhad (Ranhill) berjaya disenarai pendek di bawah LSS @ MEnTARI untuk pengembangan 50MW Loji Solar berskala besar Photovoltaic di Batang Padang, Perak.

 

Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu Surat Pemberitahuan yang dihantar kepada Ranhill pada 12 Mac baru-baru ini.

 

Ranhill dalam pengumuman di Bursa Malaysia semalam memberitahu, selain syarikatnya, sembilan syarikat pembida lain turut tersenarai bagi pembangunan loji solar berskala besar untuk tujuan penghasilan 500 megawatt tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia mulai tahun 2023.

 

Kesemua syarikat pembida tersebut disenarai bagi  Pakej P2 (500MW) LSS @ MEnTARI di mana setiap pembida diperuntukkan kapasiti eksport 50MW.

 

Ranhill disenarai pendek dan dipilih bagi mengendalikan pengeluaran solar 50 megawatt setahun di Batang Padang, Perak, jika memenuhi syarat tambahan.

 

Projek berkenaan memerlukan Ranhill menguruskan pembiayaan, reka bentuk, pembekalan, pembinaan, pemilikan, pengoperasian dan penyelenggaraan Loji Fotovoltan Solar Skala Besar 50MW bagi tujuan membekalkan tenaga elektrik selama 21 tahun mulai tahun 2023.

 

Pada 31 Mei 2020 ST telah mengeluarkan iklan Request For Proposal (RFP) bagi cadangan pembangunan 10 Loji Fotovoltan Solar Berskala Besar 50 megawatt di Semenanjung Malaysia.

 

Ranhill telah mengemukakan cadangan RFP mereka pada 2 September 2020.

 

Loji Solar Berskala Besar atau dikenali sebagai LSS adalah program pembidaan secara bersaing untuk menurunkan Penyamarataan Kos Tenaga (LCOE) bagi membangunkan loji fotovoltan solar berskala besar (LSS) dan Suruhanjaya Tenaga adalah merupakan agensi pelaksana untuk rancangan berkenaan. - DagangNews.com