Reservoir Link raih kontrak RM14.9 juta daripada Antlantic Blue untuk kerja-kerja stesen jana tenaga solar di Perak | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link raih kontrak RM14.9 juta daripada Antlantic Blue untuk kerja-kerja stesen jana tenaga solar di Perak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Syarikat pembekal perkhidmatan berkaitan tenaga, Reservoir Link Energy Berhad menerima kontrak bernilai RM14.9 juta daripada anak syarikat Solarvest Holdings Berhad iaitu Atlantic Blue Sdn. Bhd. 

 

Pemberian kontrak itu menyaksikan anak syarikat Reservoir Link, Founder Energy akan bertanggungjawab untuk kerja-kerja kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan stesen jana tenaga 10.95MW solar fotovoltaik (PV) berskala besar di Perak.  

 

Kerja-kerja di stesen jana tenaga itu dijangka siap sepenuhnya pada 30 November 2022.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbesar hati kerana Atlantic Blue meletakkan kepercayaan kepada mereka bagi melaksanakan projek tersebut.

 

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha untuk mentiapkan projek berkenaan mengikut masa yang ditetapkan seperti yang pernah dilaksanakan terhadap pelanggan terdahulu.

 

"Pada masa akan datang, kami akan terus aktif merebut tender pembinaan seperti stesen jana tenaga solar PV ini dan pada masa sama menghidupkan peluang mewujudkan ladang solar sendiri bagi menjana aliran pendapatan untuk kumpulan.

 

BACA JUGA: Reservoir Link raih kontrak pertama bagi 2022 daripada Tanjung Offshore

 

"Saya berbesar hati kerana kumpulan mengambil langkah tepat dalam mengukuhkan kedudukan Reservoir Link dalam segmen tenaga boleh diperbaharui.

 

"Kami percaya langkah ini akan memberi manfaat kepada kami sebagai sebuah syarikat berkaitan tenaga pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini. - DagangNews.com