Rexit diunjur berdepan persekitaran operasi mencabar, kata Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Rexit diunjur berdepan persekitaran operasi mencabar, kata Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Malacca Securities mengunjurkan Rexit Berhad terus menghadapi persekitaran operasi yang mencabar selepas Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia menyederhana pada kadar 4%.

 

Firma itu berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan risiko yang hadir daripada krisis global seperti inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan konflik berterusan antara Rusia-Ukraine.

 

Bagaiamanpun, firma itu berkata, pertumbuhan kumpulan itu bagi jangka masa panjang akan disokong oleh peningkatan premium bertulis kadar di dalam industri insurans am Malaysia.

 

"Menurut GlobalData, pasaran dijangka mencapai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) melepasi 4% antara 2021 hingga 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyukai model perniagaan kumpulan itu yang memanfaatkan kecekapan terasnya seperti infrastruktur e-Cover, pasukan pengurusan yang berpengalaman dan hubungan kukuh dengan pelanggan yang akan memastikan aliran pendapatan berulang.

 

Kumpulan itu sedang berunding dengan bakal pelanggan baharu untuk FY24 yang akan membawa sumber pendapatan baharu untuk perniagaan dalam kedua-dua urus niaga dan asas langganan.

 

Katanya, kumpulan itu sedang berusaha untuk mengembangkan perkhidmatan e-Cover kepada perkhidmatan kewangan dan sektor e-dagang lain dan firma itu menjangkakan berlaku peningkatan dalam kos jualan terutamanya gaji serta kos berkaitan kakitangan pembangunan perisian sejajar dengan pertumbuhan hasil daripada jualan dan perkhidmatan perisian.

 

"Dari segi aset, kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang perbelanjaan modal yang ketara dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan perpindahan ke pusat data diperakui Tahap 3 di TM One, Brickfields pada FY22.

 

"Dari segi geografi, kumpulan itu kekal menumpukan pada memperluaskan penawaran perniagaannya di pasaran Malaysia, Hong Kong dan China," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 83 sen sesaham. - DagangNews.com