RHB Investment jangka harga minyak mentah global melonjak jika konflik Palestin-Israel bertambah buruk | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka harga minyak mentah global melonjak jika konflik Palestin-Israel bertambah buruk

KUALA LUMPUR 10 Okt - Harga minyak mentah global dijangka melonjak dengan ketara sekitarnya konflik antara Palestin dan Israel menjadi semakin buruk.

 

RHB Investment berkata, berdasarkan S&P Global Platts Oil Security Sentinel, peristiwa yang mengancam keselamatan seperti serangan fizikal terhadap prasarana petroleum, atau penghantaran di Teluk Parsi dan kawasan Semenanjung Arab berlaku tiga kali ganda lebih kerap secara tahunan sejak 2017.

 

Katanya, jumlah kejadian yang dilaporkan Platts mencecah angka tertinggi pada 2021, dengan 27 peristiwa keselamatan yang disahkan.

 

Kegiatan ketenteraan di Nigeria dan juga pergolakan di Libya pernah menaikkan harga minyak kepada lebih AS$120 setong dan AS$125 satu tong pada 2008 dan 2011.

 

"Perang Russia-Ukraine juga menaikkan harga minyak melebihi AS$125 setong pada Mac tahun lalu. 

 

"Peristiwa yang agak kecil mungkin mengakibatkan kenaikan AS$3 hingga AS$8 setong pada premium harga, manakala peristiwa besar yang berlarutan dengan lama boleh menaikkan harga minyak lebih daripada AS$10 setong," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Harga minyak mentah global naik lebih 4% kepada setinggi AS$89 setong pada Isnin, susulan serangan pejuang Hamas terhadap Israel.

 

RHB Investment Bank berkata, walaupun kesan sebenar konflik itu terhadap harga minyak seharusnya agak terbatas memandangkan Israel dan Palestin bukan pengeluar minyak besar, terdapat kebimbangan mengenai keadaan yang semakin tegang di rantau berkenaan, lebih-lebih lagi apabila Iran telah memberi sokongannya kepada Hamas.

 

"Kami tidak menolak kemungkinan sekatan lanjut akan diambil terhadap Iran oleh Amerika Syarikat (AS), jika terdapat sebarang pengesahan yang ia terbabit secara langsung dalam serangan itu.

 

"Iran mengeluarkan kira-kira tiga juta tong minyak sehari, dan sebelum ini ia mengugut untuk menyekat Selat Hormuz, iaitu salah satu laluan air terpenting buat bekalan tenaga dunia," katanya.

 

Buat masa ini, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent bagi 2023 hingga 2024 pada AS$85 dan AS$85 setong. - DagangNews.com