RHB Investment jangka prestasi Uzma terus kukuh pada separuh kedua 2023, dipacu pemulihan aktiviti huluan segmen minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka prestasi Uzma terus kukuh pada separuh kedua 2023, dipacu pemulihan aktiviti huluan segmen minyak dan gas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - RHB Investment menjangkakan prestasi Uzma Berhad kekal kukuh pada separuh kedua 2023 walaupun suku ketiga tahun ini merupakan tempoh bermusim yang paling lemah untuk kumpulan itu.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana berpengalaman dan inovatif dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan merentasi rantaian nilai dan segmen minyak dan gas (O&G).

 

"Pemulihan pendapatan keseluruhan kumpulan itu mungkin disokong oleh pemulihan aktiviti huluan, dan pengembangan berterusan tempahan kerja dengan persekitaran harga minyak yang mampan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sebagai penyedia perkhidmatan O&G berpengalaman yang menawarkan penyelesaian yang inovatif, mereka percaya Uzma akan menjadi antara penerima manfaat aktiviti huluan yang lebih tinggi.

 

Katanya, tempahan tertunggak kumpulan berjumlah RM1.9 bilion pada Disember 2022, memberikan keterlihatan hasil antara dua hingga tiga tahun.

 

Firma itu berkata, antara tempahan kerja utama termasuk projek modul suntikan air, kerja palam dan tiub gegelung.

 

"Selain itu, syarikat itu terus memenangi lebih banyak kontrak dalam beberapa bulan lalu termasuk penyediaan pam tenggelam elektrik, pembekalan pengeluaran bersepadu dan bahan kimia integriti serta perkhidmatan berkaitan, pembekalan peralatan dan perkhidmatan penembusan tiub.

 

"Kami menganggarkan tempahan kerja semasanya berada di bawah RM2.5 bilion," katanya.

 

Firma itu mengekalkan harga wajar (FV) 98 sen sesaham.

 

Bagaimanapun, firma itu berdepan beberapa cabaran termasuk kemasukan projek yang lebih lemah daripada jangkaan, harga minyak yang jauh lebih rendah daripada jangkaan yang boleh mengehadkan perbelanjaan pelanggan dan kos operasi lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com