KUALA LUMPUR 27 Nov - Keuntungan operasi IOI Corp Bhd kekal stabil sewaktu ketidaktentuan dalam subsegmen hiliran, dipacu kos pengeluaran yang rendah antara syarikat pesaingnya iaitu sekitar RM2,300 hingga RM2,600 setiap tan, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan panggilan "beli" ke atas IOI Corp dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM4.42 ketika ia mengubah tahun asas penilaiannya kepada ramalan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 iaitu sebanyak 20.5 sen.
MIDF Research berkata, nilai itu ditambat pada nisbah harga untuk pendapatan sebanyak 21.6 kali ganda, berdasarkan purata sejarah lima tahun.
Keuntungan operasi huluan dijangka menyumbang antara 68% hingga 70% daripada jumlah keuntungan operasi kumpulan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027.
"Oleh itu, sebarang kenaikan dalam trajektori harga minyak sawit mentah (MSM) akan memberi manfaat yang signifikan kepada syarikat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, CIMB Securities menyemak semula ramalan EPS ke atas IOI Corp bagi tahun kewangan 2025 hingga 2026 dengan penurunan sebanyak 2%.
Katanya, ia mengambil kira andaian harga MSM yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM4,150 setiap tan, gaji minimum yang lebih tinggi mulai Februari 2025 dan margin keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan dalam pembuatan berasaskan sumber pada suku pertama tahun kewangan 2025.
"Kami mengekalkan panggilan 'beli' kami, meramalkan pemulihan dalam pendapatan IOI Corp bagi tahun kewangan 2025 hingga 2026, disokong oleh harga MSM yang lebih kukuh dan pendapatan bersekutu. IOI telah mencari aset huluan yang besar untuk mengembangkan perniagaannya," katanya.
CIMB Securities berkata, kumpulan itu mempunyai ruang untuk mengembangkan tahap penggearan bersihnya yang hanya berada pada 13% setakat 30 Jun 2024.
Walaupun margin penapisan bertambah baik susulan cukai eksport MSM yang lebih tinggi yang dikenakan oleh kerajaan berkuat kuasa bulan ini, Public Investment Bank (PublicInvest) berpendapat harga produk tertapis yang tinggi pada masa ini mungkin akan mempengaruhi minat pembelian terhadap IOI Corp.
"Dalam subsegmen oleokimia, pemulihan dalam permintaan pasaran Asia Utara dan normalisasi kos pengangkutan dan logistik dijangka memberi impak positif ke atas segmen oleokimia," katanya. - DagangNews.com