KUALA LUMPUR 7 Dis - RHB Investment mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan disokong prospek pertumbuhan memberangsangkan pada 2024, dengan jangkaan permintaan kukuh, pengembangan organik dan peningkatan dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A).
Firma penyelidikan itu berkata jumlah pesakit yang kukuh boleh membawa kepada kesan limpahan kepada penggiat farmaseutikal di bawah liputannya.
Tambahnya, sektor berkenaan mempunyai trend permintaan kukuh, ditambah dengan kesedaran kesihatan semakin meningkat dan masyarakat yang semakin tua untuk mendorong prospek jangka pertengahan hingga lebih panjang bagi pembuat ubat generik.
Menurut firma itu, pelupusan Ramsay Sime Darby Healthcare kepada Columbia Asia Healthcare pada 14 November menandakan perjanjian M&A terbesar pada 2023.
RHB Investment mengekalkan KPJ Healthcare Bhd sebagai pilihan utamanya bagi sektor ini dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.66 sesaham.
Katanya, KPJ Healthcare disokong oleh inisiatif strategik utamanya, pertumbuhan menggalakkan dalam segmen pelancongan penjagaan kesihatan, pelan transformasi digital, yang menawarkan ruang untuk pengembangan margin selanjutnya, dan penambahbaikan dalam kecekapan operasi secara beransur-ansur apabila hospital baharu mula menyumbang menjelang 2024.
“Bagi sektor farmaseutikal, kami masih menjangkakan momentum aktiviti penambahan semula ubat kembali normal. RHB Economics melihat prospek pertumbuhan yang lebih memberangsangkan pada 2024, disokong oleh aktiviti ekonomi yang meningkat pada separuh pertama tahun depan.
"Kami menjangkakan ini memberi kesan positif terhadap jualan penjagaan kesihatan pengguna, kerana produk farmaseutikal dianggap sebagai perbelanjaan kehendak," tambahnya.
RHB Investment berkata risiko penurunan utama kepada sektor itu termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, lawatan pesakit/pertumbuhan intensiti hasil yang lebih rendah daripada jangkaan, dan mekanisme harga ubat yang tidak menguntungkan daripada kementerian kesihatan. - DagangNews.com