RHB Investment kekal unjuran eksport Malaysia pada kadar 9.4% bagi tahun ini | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal unjuran eksport Malaysia pada kadar 9.4% bagi tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - RHB Investment mengekalkan unjuran eksport Malaysia pada kadar 9.4% bagi 2023. 

 

Dari segi momentum, firma penyelidikan itu menjangkakan untuk melihat tanda-tanda awal peningkatan dalam data perdagangan menjelang suku keempat tahun ini.

 

"Penguncupan dari tahun ke tahun dalam data eksport berkemungkinan dilanjutkan ke suku keempat tahun ini.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan penguncupan yang lebih kecil dalam data eksport menjelang suku keempat, dengan potensi data eksport bertukar positif menjelang suku pertama tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mereka menjangkakan pemulihan lebih kukuh menjelang separuh pertama 2024 kerana terdapat tanda-tanda awal pemulihan dalam ekonomi China.

 

RHB Investment berkata, permintaan luar akan disokong oleh daya tahan berterusan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan momentum ekonomi yang bertambah baik di rantau ASEAN menjelang suku pertama 2024.

 

"Eksport ke AS membentuk sekitar 11% daripada jumlah eksport, manakala eksport ke rantau Asean menyumbang kira-kira 28%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan di AS dan ekonomi serantau akan meningkat pada 2024, kerana kebanyakan kenaikan kadar dasar dan pengetatan monetari hampir berakhir menjelang 2023.

 

Katanya, eksport Malaysia dijangka disokong oleh pengembangan dalam eksport elektrik dan elektronik (E&E) dalam beberapa bulan akan datang.

 

Ia berkata permintaan yang bertambah baik untuk produk semikonduktor dan pengguna E&E, seiring dengan pemulihan kitaran teknologi global, berkemungkinan akan menyokong penghantaran keluar E&E.

 

Mengenai China, firma penyelidikan itu berkata terdapat tanda-tanda awal pemulihan negara, seperti yang dibuktikan oleh peningkatan dalam perbelanjaan pengguna dan aktiviti perindustrian.

 

"Memandangkan China adalah salah satu rakan perdagangan utama Malaysia (eksport ke China menyumbang 13% daripada jumlah eksport Malaysia), permintaan yang lebih tinggi dari China akan memacu pemulihan eksport pada suku pertama tahun hadapan, katanya. - DagangNews.com