RHB Investment positif terhadap prospek Press Metal Aluminium didorong pemulihan harga jualan aluminium | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek Press Metal Aluminium didorong pemulihan harga jualan aluminium

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - RHB Investment positif terhadap prospek Press Metal Aluminium Holdings Bhd didorong pemulihan purata harga jualan (ASP) aluminium dan permintaan lebih tinggi daripada segmen kenderaan elektrik (EV).

 

Katanya, harga alumina kekal tinggi dalam keadaan kekurangan bekalan pada AS$430.90 setiap satu tan manakala harga anod karbon merosot daripada puncak 2022 dan stabil pada suku kedua 2024.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan aliran menaik kos alumina akan berkurangan secara beransur-ansur kerana tiga projek baharu di Mempawah, Bintan dan Odisha dijadual muncul bermula antara suku keempat 2024 dan 2026.

 

"Permintaan untuk aluminium akan dirangsang oleh pengembangan kapasiti yang perlahan di Indonesia dan permintaan yang lebih tinggi daripada sektor hijau seperti EV.

 

"Walaupun harga aluminium LME menyaksikan penurunan singkat pada Julai 2024 disebabkan pengaruh data makroekonomi yang lebih lemah dari China, kami kekal optimistik terhadap prospeknya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan untung bersih teras sebanyak RM516 juta untuk 2QFY24, mencerminkan peningkatan suku ke suku sebanyak 24% dan kenaikan tahun ke tahun sebanyak 65%.

 

Ia menjadikan pendapatan teras terkumpul bagi separuh pertama 2024 kepada RM933 juta, meningkat 54% daripada tempoh yang sama tahun lepas, bagaimanapun keputusan itu adalah di bawah ramalan. 

 

RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan FY24 kumpulan itu sebanyak 7% selepas mengambil kira factor kos.

 

Katanya, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kejatuhan harga aluminium, kemerosotan mendadak dolar Amerika Syarikat (AS), harga bahan mentah yang tinggi, dan kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi global yang akan menjejaskan permintaan aluminium utama

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.67 sesaham," katanya.- DagangNews.com