RHB Investment positif terhadap prospek sektor utiliti didorong pelancaran NETR | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek sektor utiliti didorong pelancaran NETR

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - RHB Investment positif terhadap prospek sektor utiliti disokong pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), setahun lalu.

 

Katanya, keyakinannya itu adalah berdasarkan perkembangan jumlah pusat data, peningkatam grid kuasa berterusan, pengeluaran kuasa bebas yang berpengalaman bagi merapatkan jurang bekalan serta pengembangan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat kemajuan kukuh untuk inisiatif utama di bawah NETR, seperti pengenalan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) baru-baru ini yang dilihat penting bagi mendorong mekanisme akses pihak ketiga.

 

“Penubuhan Energy Exchange Malaysia (Enegem) juga penting bagi memudahkan eksport tenaga ke Singapura.

 

"Pelbagai program tenaga solar terus dilancarkan dan dilaksanakan, manakala kajian kebolehlaksanaan mengenai kluster biojisim, pembakaran bersama ammonia dan hidrogen sedang dijalankan," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment berkata, dasar dan inisiatif kerajaan, bersama-sama dengan penurunan harga panel solar, dijangka mengekalkan pertumbuhan dalam segmen tenaga solar, seperti yang ditunjukkan oleh kemajuan pesat projek solar berskala besar (LSS) selepas empat suku tidak stabil.

 

Katanya, menerusi anugerah kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), diikuti dengan penyenaraian pendek pembida untuk LSS 5 dan pelancaran CRESS dan Enegem, terdapat potensi besar untuk pendapatan pemain EPCC solar untuk terus berkembang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, risiko kelemahan kepada panggilannya ialah pelancaran kapasiti RE baharu yang lebih rendah daripada jangkaan, perubahan peraturan utama dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

RHB Investment menjangkakan, butiran lanjut mengenai inisiatif NETR akan diumumkan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor ini dan pilihan utama kami ialah Tenaga Nasional Bhd, YTL Power International Bhd, dan Samaiden Group Bhd dengan harga sasaran masing-masing RM16.70, RM6.68 dan RM1.58 sesaham," katanya. - DagangNews.com