RHB Investment semak turun penafaran sektor teknologi kepada 'neutral' kesan permintaan lemah terhadap semikonduktor | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun penafaran sektor teknologi kepada 'neutral' kesan permintaan lemah terhadap semikonduktor

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - RHB Investment Bank menyemak turun penarafan sektor teknologi kepada 'neutral' daripada 'overweight' kesan daripada permintaan lemah terhadap segmen semikonduktor dan dijangka berterusan.

 

Firma itu berkata, walaupun berlaku kelemahan permintaan namun ia tetap mencatatkan keuntungan hasil daripada pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) selain perkembangan dalam sub segmen tertentu.

 

Katanya, jangkaan inflasi berterusan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan terus melemahkan sentimen terhadap penilaian ekuiti secara keseluruhan terutama sektor seperti teknologi.

 

"Pelbagai peristiwa penting yang berlaku mungkin akan mengubah pandangan kami termasuk lonjakan permintaan selepas pembukaan semula China, keadaan inflasi yang lemah selain kelemahan permintaan kerana kebimbangan ramai terhadap kemelesetan ekonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu turut menasihatkan pelabur untuk mencari pemain industri yang mempunyai pendedahan yang besar selepas mengambil kira prospek yang kukuh selain memanfaatkan pemain perkhidmatan sokongan kejuruteraan.

 

Katanya, permintaan untuk cip berkaitan automotif dan perkomputeran berprestasi tinggi kekal kukuh selain memberi manfaat kepada mereka yang memberi tumpuan kepada sub segmen itu.

 

Firma itu menyukai, Malaysian Pacific Industries Berhad kerana pendedahannya dalam industri automotif dan kenderaan elektrik (EV), peluasan kapasiti pengeluaran dan penggunaan teknologi pembungkusan baharu.

 

"CTOS Digital Berhad juga menjadi pilihan berdasarkan tumpuan kepada profil domestik, kedudukan utama selain prospek permintaan yang semakin meningkat untuk pelbagai penyelesaian digital.

 

"Selain itu, Coraza Integrated Technology Berhad juga akan menerima manfaat daripada pertambahan permintaan dan pendedahan semasa," katanya. - DagangNews.com