RHB Investment semak turun unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$80 setong bagi suku kedua 2023 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$80 setong bagi suku kedua 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - RHB Investment menyemak turun unjuran minyak mentah Brent bagi suku kedua 2023 kepada AS$80 setong dan percaya ia akan pulih secara berperingkat berdasarkan andaian bahawa krisis perbankan terkawal.

 

Pada masa sama, firma itu mengunjurkan harga minyak mentah kepada purata pada AS$85 setong pada separuh kedua 2023.

 

"Permintaan minyak keseluruhan dijangka kekal sihat tahun ini, mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2.3 juta tong setiap hari (mbpd)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, terdapat sedikit perubahan dalam asas pasaran minyak buat masa ini dan langkah sokongan harga dijangka daripada Amerika Syarikat (AS) (melalui penambahan semula Rizab Petroleum Strategik) dan OPEC (melalui pemotongan pengeluaran) jika permintaan minyak global menurun.

 

Firma itu juga menjangkakan pasaran minyak kekal dalam lebihan teori sebanyak 0.6 mbpd pada suku kedua 2023 kemudian berbalik kepada defisit 0.2-0.8 mbpd pada separuh kedua tahun ini.

 

Mereka juga menjangkakan pasaran yang seimbang, dengan purata defisit teori sebanyak 0.1mbpd pada tahun ini.

 

"Walaupun pengharaman berterusan ke atas produk Rusia, kami terus melihat penghalaan semula produk ini ke negara lain," katanya.

 

Menurut Bloomberg, eksport minyak mentah Rusia melalui laut masih kekal melebihi paras 3 mpd dalam tempoh enam minggu yang lalu dengan kebanyakannya menuju ke China, India dan bahagian lain di Asia.

 

Firma itu berkata, memandangkan harga minyak diunjurkan kepada purata pada AS$83 setong tahun ini, mereka tidak menjangkakan syarikat minyak mengurangkan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi dengan ketara.

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com