RHB Investment semak turun unjuran pendapatan Unisem antara 3.6% hingga 25.9% bagi FY23-34 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan Unisem antara 3.6% hingga 25.9% bagi FY23-34

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - RHB Investment Bank menyemak turun unjuran pendapatan Unisem (M) Berhad bagi FY23-24 sebanyak 3.6% dan 25.9% kesan daripada kelemahan pasaran semikonduktor.

 

Firma itu juga berkata, unjuran itu dibuat selepas mengambil kira faktor tukaran dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia yang akan mencecah 4.65 pada FY23.

 

"Selaras dengan semakan semula sektor itu, kami juga menurunkan unjuran P/E FY23 kepada 21x daripada 25x berdasarkan ketidaktentuan persekitaran makroekonomi global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan hasil MYR888.5 juta bagi 1HFY22 serta pendapatan teras sebanyak RM122.4 juta dan ia berjaya mencapai jangkaan yang ditetapkan.

 

Kumpulan itu mencatatkan prestasi lebih baik didorong jumlah pengeluaran dan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi selain pendapatan sebelum cukai faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) adalah stabil pada c.27.5%.

 

Unitnya di China menyumbang c.55% daripada hasil dan 55-60% daripada pendapatan kumpulan.

 

Firma itu berkata, walaupun terdapat kelemahan dalam segmen elektronik pengguna, terutamanya di Chinadengan semakan semula inventori dipergiatkan dalam rantaian bekalan berkaitan elektronik pengguna, segmen automotif kekal mencatatkan permintaan tinggi kerana masih terdapat pelanggan yang masih mengalami kekurangan wafer.

 

Firma itu menjangkakan kelemahan pengeluaran di Chengdu disokong peningkatan purata harga jualan (ASP) untuk semua produk di kilangnya di Ipoh.

 

"Menjelang FY23, pengembangan Fasa 3A di Chengdu (30-40% daripada loji sedia ada) dijangka bermula dan merancakkan pertumbuhan kumpulan.

 

"Permintaan keseluruhan untuk pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) dijangka terus stabil diikuti pelan pembesaran kemudahan pegeluaran di Gopeng yang seharusnya tersedia sebelum 1HFY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.39, lebih rendah berbanding RM4.18. - DagangNews.com