RHB Research jangka prospek sektor perladangan kekal tidak menentu pada 2023 | DagangNews Skip to main content

RHB Research jangka prospek sektor perladangan kekal tidak menentu pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - Prospek sektor perladangan kekal tidak menentu pada 2023 disebabkan kesan La Nina, dasar biofuel Indonesia dan pengurangan permintaan disebabkan kelembapan ekonomi.

 

RHB Research berkata, kebanyakan penceramah semasa Persidangan & Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit & Laurik 2023 (POC 2023) menolak untuk memberikan ramalan harga purata untuk tahun ini.

 

Kebanyakan penceramah enggan memberi komitmen kepada harga purata tahun ini, dengan hanya enam daripada mereka menyediakan ramalan harga.

 

"Kami melihat secara relatifnya lebih pelbagai tahun ini, dengan penceramah mempunyai sudut pandangan berbeza mengenai kesan La Nina, kesan dasar biofuel Indonesia dan kelembapan ekonomi yang akan datang.

 

"Kami menjangkakan harga minyak sawit akan berada antara RM3,760-RM5,300 bagi setiap tan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, kemampanan terus menjadi fokus dalam sektor perladangan, terutamanya dengan undang-undang penebangan hutan baharu Kesatuan Eropah (EU) yang berkuat kuasa pada Disember 2024, serta penelitian terhadap amalan buruh industri.

 

Katanya, bagin mematuhi undang-undang penebangan hutan EU, penanam perlu meningkatkan usaha mereka melalui pelaksanaan kebolehkesanan digital masa nyata seluruh industri.

 

"Ini juga termasuk memastikan kerjasama maklumat dengan mengguna pakai teknologi awan dan mendapatkan agensi atau pengawal selia kerajaan serantau untuk membantu industri mematuhi pada kos terendah.

 

"Paling penting, pekebun kecil tidak boleh ketinggalan dalam usaha menuju kemampanan, kerana kira-kira 40% minyak sawit dihasilkan daripada ladang pekebun kecil," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu.

 

“Kami tidak membuat perubahan pada ujuran harga minyak sawit mentah kami sebanyak RM3,900 bagi setiap tan untuk 2023.

 

"Risiko utama kepada panggilan kami adalah cuaca ekstrem dan perubahan dasar di Indonesia," katanya. - DagangNews.com