RHB Research mulakan liputan terhadap Boilermech dengan saranan 'neutral', TP 62 sen | DagangNews Skip to main content

RHB Research mulakan liputan terhadap Boilermech dengan saranan 'neutral', TP 62 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - RHB Research memulakan liputan terhadap Boilermech Holdings Berhad dengan saranan 'neutral' pada harga sasaran 62 sen sesaham.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu bermula sebagai pereka bentuk dan pengilang dandang biojisim sebelum meraih kepakaran teknikal bagi menyediakan perkhidmatan EPC yang disesuaikan dengan industri minyak sawit.

 

Katanya, antara yang ditawarkan kumpulan itu kepada pemain industri termasuk dandang kilang kelapa sawit dan sistem penangkapan biogas serta kumbahan kilang kelapa sawit (POME).

 

"Kami berpendapat, kumpulan itu menawarkan penyelesaian mesra alam merentasi semua segmen bio tenaga, rawatan air dan tenaga boleh diperbaharui termasuk dandang biojisim, penyelesaian rawatan POME dan sistem solar fotovoltaik (PV)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengunjurkan FY23 akan menjadi tahun yang sangat mencabar selepas mengambil kira kenaikan harga bahan mentah, perubahan poduk campuran dan kekurangan tenaga kerja.

 

Bagaimanapun, firma itu melihat akan berlakunya sedikit penambah baikan pada FY24 daripada peningkatan margin keuntungan.

 

"Kemajuan itu adalah hasil dorongan pengurusan rantaian bekalan yang lebih baik selain nomalisasi harga bahan mentah.

 

"Kami mengunjurkan penurunan 7% bagi untung bersih bagi FY23 manakala hasil bagi FY24-25 dijangka berkembang antara 23-28%," katanya. - DagangNews.com