RHB Research nilai harga wajar Oppstar pada RM1.12 sesaham | DagangNews Skip to main content

RHB Research nilai harga wajar Oppstar pada RM1.12 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - RHB Research menetapkan harga wajar (FV) RM1.12 terhadap Oppstar Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 20.2% (FY22-FY25) yang didorong keupayaan reka bentuk, peluasan tenaga kerja dan jejak geografi dan pembangunan harta intelek (IP).

 

"Kami menyukai saham itu kerana ia berada di kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada kemajuan dalam dan permintaan yang semakin meningkat untuk penyumberan luar perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dalam pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraiannya, kumpulan itu dijangka meraih RM104.25 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 165.48 juta saham biasa pada harga 63 sen sesaham. 

 

Menurut prospektus IPO Oppstar yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia 15 Mac ini, syarikat itu memperuntukkan 47.96 peratus dana yang diraih daripada IPO untuk meningkatkan tenaga kerja dan 23.98 peratus untuk mewujudkan pejabat baharu.

 

Sejumlah 11.51% lagi akan digunakan untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan bersama dengan 12.14% disalurkan untuk modal kerja, manakala bakinya untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Firma itu berkata, Oppstar bertindak sebagai pembekal kepada pengeluar peranti bersepadu, syarikat fabless, syarikat fab-lite, pembekal sistem elektronik dan sebagainya manakala dalam pembangunan IC, mereka terlibat dalam reka bentuk serta peringkat pasca pengesahan silikon.

 

Katanya, perkhidmatan reka bentuk khususnya terlibat dalam perkhidmatan reka bentuk pada litar digital dan analog. 

 

Firma itu berkata, Oppstar mempunyai rekod prestasi menyampaikan projek reka bentuk dalam pelbagai jenis IC dalam ASIC, SoC, CPU dan FGPA

 

"Pengalaman kumpulan dalam mengusahakan reka bentuk IC yang direka oleh pelbagai faundri terkemuka dunia dan pengetahuan dalam FinFET 3D membolehkannya mendapatkan projek berulang dengan pemindahan proses," katanya.

 

Firma itu berkata, Oppstar berhasrat meningkatkan dan membezakan tawaran perkhidmatannya dengan membangunkan IP sendiri untuk beberapa perkara termasuk kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

 

"Ia juga boleh meningkatkan aliran pendapatannya dengan melesenkan IP ini pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com