RHB Research semak turun unjuran pendapatan Sarawak Oil Palms akibat kos pengeluaran tinggi | DagangNews Skip to main content

RHB Research semak turun unjuran pendapatan Sarawak Oil Palms akibat kos pengeluaran tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - RHB Research menyemak turun unjuran pendapatan Sarawak Oil Palms Berhad bagi FY22-24 sebanyak 1.8%-3.9% selepas mengambil kira kos pengeluaran yang tinggi akibat peningkatan harga baja serta susut nilai yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, segmen hiliran kekal memberi keuntungan kepada kumpulan disokong margin penapisan yang kukuh hasil daripada permintaan biodiesel yang semakin bertambah.

 

Katanya, margin bagi 2HFY22 dijangka sederhana kesan daripada penurunan purata harga jualan (ASP) bagi produk bertapis baru-baru ini. 

 

"Menjelang FY23, sumbangan setahun penuh daripada pengembangan kilang penapisan baharu akan membantu meningkatkan margin keuntungan kerana ia akan menghasilkan produk yang disesuaikan dengan kualiti yang lebih tinggi.

 

"Penggunaan penapisan adalah 80% pada 2QFY22 (berbanding 90% pada 1QFY22), disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan, manakala penggunaan biodiesel ialah 60% (berbanding 50% 1QFY22) disebabkan permintaan sementara yang lebih tinggi dalam biodiesel runcit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun syarikat minyak sawit dijangka menerima pekerja asing secara beransur-ansur mulai September/Oktober dan seterusnya, SOP masih tidak jelas mengenai masa kemasukan pekerja baharu ke Sarawak.

 

Katanya, kekurangan tenaga kerja sebanyak 30% telah stabil sejak beberapa bulan lalu dan mengunjurkan pengurangan ke arah 20% menjelang akhir tahun.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan berada pada paras antara RM4,000 hingga RM4,500 untuk satu tan selepas mengambil kira situasi tenaga kerja semasa.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.00 berbanding RM3.10," katanya. - DagangNews.com