Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Seiring perkembangan produk kewangan yang semakin kompleks, Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) meletakkan program pendidikannya sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan kesedaran pelabur mengenai penipuan kewangan.
Sehubungan itu, bersempena Minggu Pelabur Dunia 2020, Bursa Malaysia telah menganjurkan majlis “Ring the Bell for Financial Literacy”, sebagai tanda sokongan terhadap pendidikan dan perlindungan pelabur.
Berucap pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Ekskutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift (gambar) percaya bahawa pelabur yang berpengetahuan bakal berdepan risiko rendah untuk jatuh ke dalam perangkap penipuan kewangan.
“Di Bursa Malaysia, kami mempunyai komitmen kuat untuk menggalakkan literasi kewangan di pasaran kami dan orang ramai.
“Ini merupakan agenda penting bukan hanya bagi menggalakkan penyertaan runcit tetapi menambah baik perlindungan pelabur menerusi pendidikan,” ucap beliau seperti dipetik dalam kenyataan Bursa Malaysia hari ini.
Sejak dua bulan lalu, Bursa Malaysia mempergiatkan penggunaan teknologi digital supaya secara berkesan mencapai segmen penduduk dengan meluas dan menggalakkan kemasukan kewangan.
Pada Jun lalu, institusi saham itu melancarkan Bursa Academy yang merupakan platform pembelajaran dalam talian menyeluruh, disasarkan kepada pelabur runcit di seluruh pasaran sekuriti, derivatif dan modal Islam.
Sejak dilancarkan, Bursa Academy terus berkembang dan menerima pendaftaran hampir mencecah 93,000 pengguna dengan lebih 217,000 paparan halaman setakat penghujung September 2020.
Menerusi 168 penganjuran webinar ketika pandemik, Bursa Malaysia telah menarik sehingga 51,943 pelabur.
“Program kami diwujudkan bagi menambahbaik pengetahuan pelaburan dan melahirkan pelabur yang bertanggungjawab. Saya menggalakkan pelabur untuk menghadiri webinar yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, ditawarkan secara percuma,” ujar Muhamad Umar.
Ring the Bell for Financial Literacy merupakan inisiatif global oleh Persekutuan Dunia Saham bagi menggalakkan literasi kewangan dan melonjakkan penglibatannya.
Pada tahun ini, hampir 40 pasaran saham yang bekerjasama menjayakannya. - DagangNews.com