Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Ringgit diniagakan rendah pagi ini, pada RM4.1550/1650 berbanding dolar AS di sebalik keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75%.
Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada RM4.1540/1580 berbanding dolar AS.
Menurut AmBank Research, ringgit jatuh pada hari ketiga, susut 0.02% kepada RM4.1580 manakala indeks FBM KLCI ditutup pada paras terendah sejak 28 Mei, jatuh 0.34% kepada 1,461.5 mata.
"Tekanan jualan juga berlaku dalam pasaran MGS ekoran keputusan BNM mengekalkan kadar OPR dalam mesyuaratnya semalam," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, BNM dilihat lebih berhati-hati dalam mesyuarat kali ini berbanding September memandangkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi pada suku keempat.
"Namun, kesannya mungkin hanya sementara. Pakej ransangan ekonomi berjumlah RM305 bilion atau 21% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepatutnya dapat menyokong ekonomi domestik," katanya.
Ambank Research menganggarkan pertumbuhan ekonomi tahun ini pada -3.5 hingga -5.6% seiring sasaran BNM, -3.5 hingga -5.5%.
Pertumbuhan 2021 yang kekal positif didorong prospek KDNK global dan perdagangan yang lebih baik akan menyokong perkembangan ekonomi negara sekitar 5.5 hingga 6%.
Dalam dagangan hari ini, firma itu menjangkakan ringgit akan berlegar pada paras sokongan antara RM4.1475 dan RM4.1520 manakala paras rintangan antara RM4.1615 dan RM4.1659.
Berbanding mata wang utama lain, ringgit melemah dengan menyusut 0.32% kepada RM4.854 berbanding euro dan 0.79% kepada RM5.390 berbanding pound.
"Bagi mata wang serantau, ringgit diniagakan tinggi, menokok 0.29% kepada RM3.050 berbanding dolar Singapura," katanya.
Harga minyak mentah pula mencapai paras tertinggi sejak 27 Oktober berikutan pilihan raya presiden AS. Ia menyaksikan Brent naik 1.90% kepada AS$39.71 setong manakala West Texas Intermediate, meningkat 2.31% kepada AS$37.66 setong. - DagangNews.com