Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pagi ini ringgit dibuka lebih tinggi pada RM4.1480/1560 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang keputusan pilihan raya presiden AS.
Semalam mata wang ini ditutup rendah pada 4.1650/1710 berbanding dolar AS.
AmBank Research berkata, ringgit lemah buat hari keempat semalam, susut 0.16% kepada RM4.1650 berbanding dolar AS manakala indeks FBM KLCI pula menokok 0.22% kepada 1,464.6 mata
"Kami menjangkakan hari ini ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.1590 dan RM4.1641 manakala paras rintangan pula RM4.1727 dan RM4.1762," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berbanding mata wang lain, ringgit mengukuh 0.17% kepada RM4.862 berbanding euro dan 0.09% kepada RM5.385 berbanding pound.
Bagaimanapun, ringgit kekal tidak berubah berbanding dolar Singapura pada RM3.050.
Menurut firma penyelidikan itu, dolar AS jatuh 0.07%, mengakhiri kenaikan lima hari memandangkan Demokrat tidak mungkin menguasai Senat AS.
Bagi pasaran komoditi pula, harga Brent melonjak 3.83% kepada AS$41.23 setong manakala West Texas Intermediate turut meningkat 3.96% kepada AS$39.15 setong.
Kedua-dua harga minyak ini mencapai paras tertinggi sejak 27 Oktober terutama apabila Trump mendakwa memperoleh kemenangan dalam pilihan raya presiden yang sengit.
"Dalam masa sama, data juga menunjukkan bekalan minyak mentah semakin berkurangan dalam minggu berakhir 30 Oktober lalu sebanyak 8 juta tong sehari.
"Pada minggu sebelumnya, inventori meningkat sebanyak 4.3 juta tong sehari," katanya. - DagangNews.com