KUALA LUMPUR 10 Feb - Ringgit mengakhiri suku keempat 2022 dengan lebih kukuh iaitu 5.3% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dirangsang oleh perkembangan global yang menggalakkan dan kestabilan politik domestik terutama dengan pembentukan kerajaan baharu pada November 2022, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, prestasi mata wang itu juga sejajar dengan mata wang serantau lain dengan jangkaan kenaikan kadar faedah lebih kecil oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) ketika inflasi mengurangkan faedah terhadap dolar AS.
"Sentimen pelabur global terhadap ringgit dan mata wang serantau juga meningkat kesan pembukaan semula ekonomi China dan jangkaan limpahan ekonomi positifnya ke rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bank pusat itu berkata, ringgit juga mengukuh berbanding beberapa rakan dagangan utama, dengan kadar pertukaran efektif nominal (NEER) meningkat sebanyak 0.4% pada suku tersebut.
“Melangkah ke hadapan, BNM akan terus memantau dengan teliti keadaan kewangan global dan domestik, dan memastikan pelarasan pasaran kewangan yang teratur,” katanya.
Mengenai syarat pembiayaan, BNM berkata, kredit kepada sektor bukan kewangan swasta berjumlah 4.7% pada S4 2022 berbanding 5.3% pada S3 2022, dengan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih rendah sebanyak 4.7% pada suku dalam tinjauan berbanding 5.7% pada S3 2022.
Sementara itu, bon korporat terkumpul terus berkembang sebanyak 4.6% pada S4 2022 daripada 4% pada S3 2022, manakala pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 3.3% pada S4 2022 apabila pertumbuhan kukuh yang berterusan dalam pembayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman.
Katanya, pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman dikekalkan pada 12% pada S4 2022, terutamanya bagi pinjaman modal kerja apabila firma terus menggunakan kemudahan kredit sedia ada.
"Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul berkembang sebanyak 5.5% di tengah-tengah pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pengeluaran pinjaman dan pertumbuhan yang mampan dalam pembayaran balik pinjaman," katanya. - DagangNews.com