Ringgit meningkat 0.03% berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit meningkat 0.03% berbanding dolar AS

ringgit

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Nilai ringgit setakat Jumaat lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.03% kepada 4.188 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

AmBank Research dalam nota kajiannya memberitahu, dolar AS juga turut meningkat sebanyak 0.70% kepada 93.435 pada Jumaat didorong oleh prestasi pasaran buruh yang lebih baik pada Julai.

"Data gaji bukan ladang AS menyaksikan pertambahan lebih 1.7 juta pekerjaan selepas mencatatkan peningkatan 4.8 juta pada Jun.

"Kadar pengangguran di AS juga menurun kepada 10.2% daripada 11.1% pada bulan sebelumnya. Manakala purata perolehan setiap jam juga naik 0.2% berbanding -1.3% pada Mei," jelas AmBank Research hari ini.

Sementara itu, KLCI negara juga ditutup rendah sebanyak 0.66% kepada 1,578.1.

Dalam pada itu, ringgit juga mencapai prestasi lebih baik berbanding mata wang utama lain.

Ringgit kukuh 0.10% kepada 4.957 berbanding Euro (EUR).

Manakala, ringgit juga lebih kukuh sebanyak 0.45% kepada 5.490 berbanding Pound Sterling (GBP).

Namun, sedikit rendah berbanding Dolar Australia (AUD) pada 0.39% kepada 3.022.

Selain menjangkakan ringgit diperdagangkan pada tahap 4.1700 dan 4.1794, AmBank Research turut memberitahu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat bagi bulan kedua berturut-turut ekoran peningkatan output daripada semua subsektor khususnya sektor pembuatan.

Namun, ekonomi negara turut berdepan dengan risiko pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negatif sekitar -10% hingga -11% daripada 0.7% pada suku pertama 2020. - DagangNews.com