KUALA LUMPUR 7 Dis - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$112.3 bilion pada 30 November 2023 berbanding AS$110.5 bilion pada 15 November lalu.
Paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan sekali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata, komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$100.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.8 bilion).
Sementara itu, jumlah aset ialah RM632.3 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM527.16 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.01 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.1 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM63.92 bilion).
BNM berkata, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM178.11 bilion), mata wang dalam edaran (RM158.58 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM186.4 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM1.92 bilion), deposit lain (RM39.96 bilion), kertas Bank Negara (RM33.58 bilion), peruntukan SDR (RM29.85 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.81 bilion). - DagangNews.com