RM1.32 bilion disalur untuk biaya PKS | DagangNews Skip to main content

RM1.32 bilion disalur untuk biaya PKS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Sebanyak 6,973 permohonan pembiayaan oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah diluluskan dengan jumlah nilai pinjaman sebanyak RM1.315 bilion setakat 26 Februari 2021.

 

Jumlah itu meningkat daripada RM1.258 bilion pada minggu lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

 

“Peruntukan kerajaan sebanyak RM2 bilion di bawah program ini (Pembiayaan PKS Penjana) mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini,” ujarnya ketika menyampaikan laporan Laksana ke-44 secara langsung di Facebook miliknya hari ini. 

 

Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) pula menyaksikan sebanyak RM391.9 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 11,708 PKS Mikro setakat tempoh sama. 

 

Perusahaan yang menerima manfaat itu termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan, jelas Tengku Zafrul.

 

Katanya, ini merupakan peningkatan sebanyak RM28.5 juta, manakala PKS mikro yang mendapat manfaat telah meningkat sebanyak 934.

 

Sementara itu, dana Bumiputera Relief Financing (BRF) bernilai RM182.8 juta telah disalurkan kepada 641 PKS setakat 26 Februari berbanding 606 PKS dengan jumlah RM173.0 juta pada minggu sebelumnya, tambah beliau. 

 

“Bantuan dana khas ini adalah khusus untuk PKS bumiputera yang terkesan oleh COVID-19, dengan pembiayaan antara RM100,000 dan RM1 juta bagi PKS terlibat,” katanya lagi. - DagangNews.com