RM19.1 bilion permohonan i-Citra telah diluluskan | DagangNews Skip to main content

RM19.1 bilion permohonan i-Citra telah diluluskan

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan bahawa sebanyak RM19.1 bilion nilai permohonan i-Citra telah diluluskan setakat 4 Ogos 2021.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM2.3 bilion telah dikreditkan ke akaun lebih 4.5 juta ahli setakat tempoh sama. 

 

Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, pengurus dana pencen itu menerima permohonan pengeluaran i-Citra mencecah RM19.3 bilion bagi tempoh sama dan baki RM200 juta masih dalam peringkat semakan.

 

"Kami menerima 4.62 juta permohonan daripada ahli KWSP untuk program i-Citra dengan 4.57 juta sudah diluluskan manakala 50,000 lagi sedang disemak.

 

Nurhisham Hussein
Nurhisham Hussein

 

"Sebanyak 551 permohonan bernilai RM2.16 juta ditolak disebabkan simpanan tidak mencukupi, melebihi had usia 55 tahun selain ada yang membatalkan permohonan mereka sendiri," katanya pada taklimat media secara maya, seperti dilaporkan Berita Harian.

 

i-Citra diperkenalkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (Pemulih) seiring pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijangka beralih ke fasa terakhir menjelang Oktober depan. 

 

Baca : i-Citra ganti i-Sinar, ahli boleh keluarkan hingga RM5,000

 

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

 

Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. 

 

Permohonan mula dibuka pada 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

 

Sementara itu, Nurhisham mendedahkan bahawa pengurangan gaji atau upah menjadi alasan tertinggi pemohon mengeluarkan i-Citra, berdasarkan tinjauan KWSP. 

 

"Bagi tujuan pengeluaran dibuat, 62% mengatakan ia mahu digunakan untuk membiayai perbelanjaan penting bulanan/harian; melangsaikan tunggakan hutang (16%) dan membantu ahli keluarga terjejas serta menambah simpanan kecemasan masing-masing 8% dan 6%," katanya. - DagangNews.com