Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Pelabur asing kembali menjual ekuiti tempatan setelah 7 minggu berturut-turut menyaksikan aliran masuk, menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya.
Bagi minggu berakhir 1 Oktober, sebanyak RM341.94 juta ekuiti tempatan dilupuskan pelabur asing dengan jumlah tertinggi direkodkan pada pada Jumaat berjumlah RM233.65 juta.
"Apabila pasaran dibuka pada Isnin pelabur asing membeli ekuiti sebanyak RM7.03 juta dan merupakan pembeli bersih ekuiti setiap hari minggu lalu kecuali Khamis dan Jumaat.
"Malah, aliran masuk paling banyak direkodkan pada Selasa sebanyak RM72.7 juta," katanya hari ini.
MIDF Research turut mendapati, pelabur runcit membeli sebanyak RM67.12 juta ekuiti apabila pasaran dibuka pada Isnin minggu lalu manakala pelabur institusi tempatan menjual RM74.25 juta ekuiti.
Bagi pelabur runcit, katanya, mereka membeli ekuiti setiap hari kecuali pada Khamis dengan pembelian tertinggi direkodkan pda Jumaat sebanyak RM90.92 juta.
"Mereka membeli paling sedikit ekuiti pada Selasa sebanyak RM4.35 juta. Secara terkumpul, pelabur runcit telah membeli RM184.95 juta ekuiti di Bursa Malaysia sepanjang minggu lalu," tambahnya.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan menyaksikan aliran keluar sebanyak RM156.98 juta dan menjual ekuiti hampir setiap hari kecuali Khamis dan jumaat.
"Penjualan ekuiti paling tinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM77.05 juta manakala aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Khamis berjumlah RM211.11 juta," katanya.
Sejak awal tahun ini, MIDF Research berkata, pelabur runcit masih kekal satu-satunya pembeli ekuiti tempatan dan setakat ini berjumlah RM10.47 bilion.
Pelabur asing dan institusi tempatan pula masing-masing menjual sebanyak RM6.48 bilion dan RM3.99 bilion ekuiti di Bursa Malaysia.
Dari segi penyertaan pelabur runcit, institusi tempatan asing masing-masing merekodkan nilai harian purata dagangan (ADTV) minggu lalu sebanyak 10.67%, 12.98% dan 50.55%.
Secara keseluruhan, indeks utama FBM KLCI susut 0.49% pada minggu lalu untuk berakhir pada 1,524.48 mata manakala ringgit pula mengukuh 0.21% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.1790 ketika pasaran mengakhiri dagangan Jumaat lalu. - DagangNews.com