RMK-12: Dasar, strategi, inisiatif Bumiputera digubal | DagangNews Skip to main content

RMK-12: Dasar, strategi, inisiatif Bumiputera digubal

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Dasar, strategi dan inisiatif golongan Bumiputera akan digubal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka dibentangkan pada awal tahun depan.

Langkah itu merupakan salah satu usaha pemerkasaan agenda Bumiputera yang masih ketinggalan dari segi pendapatan, pemilikan kekayaan dan taraf sosioekonomi. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penyertaan Bumiputera dalam industri strategik yang berimpak tinggi dan berpotensi serta mempunyai nilai ditambah tinggi juga akan dipertingkatkan. 

“Penemuan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2019 menyentuh statistik pendapatan pertengahan atau ‘median’ bulanan isi rumah antara etnik iaitu RM5,420 bagi Bumiputera, India (RM5,981) dan Cina (RM7,391).

 

mustapa
Mustapa Mohamed

 

“Di samping itu, Bumiputera telah mencatatkan penurunan insiden kemiskinan mutlak kepada 7.2% pada tahun 2019 berbanding 9.7% pada tahun 2016. Cina dan India juga menunjukkan insiden kemiskinan yang lebih rendah berbanding 2016 dengan masing-masing merekodkan insiden kemiskinan 1.4% dan 4.8%.

Ini menunjukkan bahawa realitinya Bumiputera masih ketinggalan dari segi pendapatan, pemilikan kekayaan dan taraf sosioekonomi,” beliau ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, terdapat implikasi dasar dan kewangan susulan pelaksanaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baru-baru ini. 

Sehubungan itu, kerajaan mempunyai tempoh 5 bulan untuk mengkaji semula dasar dan menilai implikasi kewangan serta mengenal pasti kumpulan sasar masing-masing yang melibatkan program dan projek berkaitan pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.

“PGK memang tersedia mengikut wilayah, negeri dan strata. Berdasarkan kepada penemuan HIS 2019, insiden kemiskinan di kawasan bandar merekodkan peratusan sebanyak 3.8% berbanding kawasan luar bandar iaitu 12.4%. 

“Berdasarkan kepada Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS & BA) 2019, setiap isi rumah mempunyai nilai PGK tersendiri yang ditentukan berdasarkan kepada umur ahli isi rumah, komposisi jantina, bilangan ahli isi rumah, lokasi dan harga item,” jelas beliau. - DagangNews.com