Robo-Advisor berpotensi bantu pelabur runcit di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Robo-Advisor berpotensi bantu pelabur runcit di Malaysia

“Robo-advisor” ialah platform digital yang menggunakan algoritma untuk mengautomasikan portfolio pelaburan seseorang individu
oleh DR NORLIZA CHE YAHYA

PANDEMIK COVID-19 dilihat memberi kesan besar bukan sahaja pada ekonomi negara malah norma kehidupan serta perancangan kewangan masyarakat sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

 

Dapat dilihat, masyarakat kini lebih tangkas dalam mencari dan mempelbagai sumber pendapatan sampingan.

 

Sesetengah individu melihat pelaburan sebagai salah satu sumber yang mampu menyumbang pada pendapatan sampingan mereka dalam jangka pendek dan panjang.

 

Meskipun begitu, isu yang selalu dibangkitkan oleh individu ini adalah kemampuan mereka memilih pelaburan yang betul.

 

Sesetengah individu atau pelabur runcit di Malaysia mempercayai pelaburan yang melibatkan transaksi kecil atau besar memerlukan ilmu pelaburan serta asas matematik yang luas.

 

Hal ini menyebabkan aktiviti pelaburan tidak dapat direalisasikan. Sekiranya ini yang menjadi isu utama pelabur runcit, maka “robo-advisor” berpontensi membantu pelabur runcit dalam menjalankan aktiviti pelaburan mereka.

 

“Robo-advisor” ialah platform digital yang menggunakan algoritma untuk mengautomasikan portfolio pelaburan seseorang individu atau pelabur runcit.

 

Ia secara automatik mencipta portfolio untuk pelabur runcit itu berdasarkan matlamat pelaburan dan toleransi risiko, serta mengimbangi semula portfolio mereka secara berkala.

 

 

parafrasa

 

 

Walaupun pelaburan yang mengaplikasikan “robo-advisor” ini telah wujud pada 2008 di Amerika Syarikat, “robo-advisor” pertama dilancarkan di Malaysia ialah pada empat tahun lepas.

 

StashAway yang berpangkalan di Singapura dilancarkan pada 2018, manakala MyTHEO dan Wahed Invest memasuki pasaran pelaburan Malaysia setahun kemudian.

 

Sehingga kini, pasaran pelaburan Malaysia mempunyai lebih kurang empat lagi platfom pelaburan menggunakan “robo-advisor” seperti Akru, Raiz, Kenanga Investment Bank’s KDI Invest dan Bank Islam Malaysia’s BEST Invest.

 

Pelaburan yang mengaplikasikan “robo-advisor” dilihat mempunyai pelbagai manfaat terutamanya kepada pelabur runcit.

 

Pertama, jika pelabur runcit itu cenderung untuk membuat pelaburan pasif dan tidak yakin untuk membuat keputusan pelaburan sendiri, atau tidak mempunyai banyak masa untuk menyelidik, memantau dan mengimbangi semula portfolio mereka, maka “robo-advisor” boleh menjadi alternatif yang baik.

 

Kedua ialah dari aspek kepelbagaian. Kepelbagaian (iaitu mempunyai banyak jenis pelaburan berbanding hanya satu jenis) juga dapat membantu pelabur runcit menyebarkan risiko pelaburan mereka.

 

Ini bermakna jika pelaburan tertentu dalam portfolio menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan, ia tidak akan menjejaskan keseluruhan prospek pulangan portfolio seseorang pelabur itu kerana mereka masih mempunyai jenis pelaburan lain di dalam portfolio yang dibina.

 

 

irsyad

 

 

Seterusnya, pelaburan yang mengaplikasikan “robo-advisor” ini berupaya mengelakkan pelaburan berasaskan emosi.

 

Sesetengah pelabur terutamanya pelabur runcit akan mudah merasa panik dan mengeluarkan wang mereka ketika portfolio mengalami kerugian atau mengepam lebih banyak modal dengan jangkaan pasaran akan meningkat dalam waktu singkat.

 

Walaubagaimanapun, menjangka masa yang tepat berkaitan peningkatan pasaran adalah sangat sukar dan boleh membawa pada pulangan yang lebih kecil dalam jangka masa panjang.

 

Menerusi “robo-advisor”, seseorang pelabur itu boleh mengambil pendekatan melabur setiap bulan dengan jumlah tetap bagi mengelakkan dorongan emosi untuk membeli dan menjual pelaburan mereka berdasarkan sentimen.

 

Selain itu, pelaburan yang mengaplikasikan “robo-advisor” ini mengenakan yuran pengurusan yang rendah yang biasanya di bawah 1% setahun.

 

Sebaliknya, jika anda melabur dalam dana unit amanah, anda mungkin perlu mengeluarkan 0.5% hingga 2.5% setahun.

 

Sesetengah dana unit amanah juga mengenakan caj jualan sehingga 5% pendahuluan, dan 5% lagi apabila anda menebus nilai pelaburan anda.

 

 

volatiliti

 

 

Kebanyakan “robo-advisor” ini mengenakan yuran mengikut saiz portfolio seseorang pelabur itu - lebih besar portfolio pelabur itu, lebih sedikit yuran yang perlu dibayar. Ini tidak termasuk bagi BEST Invest kerana yurannya termasuk dalam yuran pengurusan tahunan pelaburan dana unit amanahnya, yang tidak akan berubah mengikut dengan saiz portfolio seseorang pelabur itu.

 

Selain yuran “robo-advisor” itu sendiri, terdapat juga yuran yang berkaitan dengan pelaburan asas yang membentuk portfolio seseorang pelabur.

 

“Robo-advisor” yang melabur dalam dana unit amanah dikenakan yuran yang lebih tinggi, manakala mereka yang melabur dalam ETF dikenakan yuran yang lebih rendah.

 

Walaupun berbezaan dapat dilihat pada kadar yuran, pelabur runcit tidak seharusnya memilih platform pelaburan menggunakan “robo-advisor” ini semata-mata pada platform mana yang mengenakan bayaran paling rendah.

 

Seseorang pelabur runcit itu juga harus mempertimbangkan cara setiap platform memilih aset untuk melabur, cara ia mengimbangi semula portfolio dan sama ada ia menyediakan sebarang perkhidmatan lain yang boleh meningkatkan pulangan pelaburan.

volatiliti

Walaupun penggunaan “robo-advisor” sebagai alternatif pelaburan masih di peringkat awal penerimaan, terutamanya di pasaran Malaysia, ia berpotensi membantu mengatasi cabaran yang dialami oleh pelabur runcit.

 

Pelaburan yang mengaplikasikan “robo-advisor” mampu membina portfolio dengan modal rendah, tanpa perlu mengira secara manual jumlah setiap saham yang diperlukan untuk membeli atau mengimbangi semula portfolio seseorang pelabur itu.

 

Ia juga menggunakan algoritma untuk bertindak balas terhadap keadaan pasaran.

 

Sekiranya bakal pelabur menangguhkan aktiviti pelaburan mereka hanya kerana tidak mempunyai ilmu pelaburan serta asas matematik yang luas, dan merasakan aktiviti pelaburan adalah berisiko tinggi, maka pelaburan yang mengaplikasikan “robo-advisor” boleh membantu dan memenuhi matlamat pelaburan seseorang pelabur itu. - DagangNews.com

 

Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam
Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan 
Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan 
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan 
UiTM Kampus Puncak Alam