KUALA LUMPUR 18 Ogos - Rozaid Abdul Rahman (gambar), pengarah media dan komunikasi strategik Datuk Seri Anwar Ibrahim, meninggal dunia malam ini.
Beliau mula bekerja dengan Perdana Menteri pada 24 Mac 2023.
Rozaid, 60, menghidap sakit jantung dan menerima rawatan di Hospital Serdang akibat masalah jantung.
Allahyarham sedang menjalani rawatan di rumahnya di Putra Heights sehingga meninggal dunia.
Rozaid sebelum ini merupakan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan pernah berkhidmat juga dengan akhbar The Star, dengan jawatan terakhirnya sebagai editor perunding kanan kumpulan.
Beliau memulakan kerjayanya di media sebagai wartawan kadet Utusan Malaysia pada April 1984.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam ciapan di platform X menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas.
Malah katanya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan amat besar buat industri media, serta sememangnya dirasai dan ditangisi.
"Seorang yang ramah, suka membantu rakan-rakan dan sangat dihormati. Pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar buat industri media, serta sememangnya dirasai dan ditangisi.
"Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa dan kurniakan syurga buatnya. Takziah kepada seluruh anggota keluarga serta sahabat handai allahyarham," katanya.- DagangNews.com