Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 4QFY22 dijangka lebih rendah, kata CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 4QFY22 dijangka lebih rendah, kata CGS-CIMB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - CGS-CIMB Research mengunjurkan Lotte Chemical Titan Holding Berhad akan mencatatkan kerugian lebih rendah pada 4QFY22 berbanding 3QFY22 walaupun anggaran kerugian bersih kumpulan itu dijangka mencecah RM216 juta pada suku akan datang. 

 

Firma itu berkata, kumpulan itu akan terus berdepan cabaran kesan daripada penurunan harga polimer dan monoetilena glikol (MEG) pada Oktober 2022 berbanding harga purata pada 3QFY22.

 

Katanya, keadaan itu bertambah buruk dengan kejatuhan harga naphtha dan minyak mentah secara berterusan.

 

"Penurunan itu berpotensi kesan daripada penggunaan plastik global akibat kenaikan kos sara hidup selain kemelesetan yang berlaku serta persaingan sengit daripada Petronas Chemical terutama selepas kemudahannya di pengerang mula beroperasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM356.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3QFY22).

 

Kerugian itu berpunca daripada penurunan margin keuntungan disebabkan permintaan pasaran yang lemah dalam industri fabrikasi hiliran serta kebimbagan kemelesetan ekonomi global dan kos bahan suapan naphtha yang lebih tinggi.

 

Selain itu, penurunan inventori sebanyak RM71.9 juta juga menyumbang kepada kerugian itu selain penurunan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu Lotte Chemical USA Corporation.

 

Firma itu berkata, walaupun margin kasar menurun pada 3QFY22, kumpulan itu terus memenuhi keperluan pelanggannya untuk mengekalkan hubungan perniagaan.

 

Katanya, kumpulan itu telah mengurangkan kadar penggunaan kilangnya kepada hanya 69% pada 3QFY22 dan menggunakan peluang itu untuk melaksanakan aktiviti pemulihan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran 94 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com