Rujuk Pejabat Kesihatan Daerah jika tak puas hati tindakan KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Rujuk Pejabat Kesihatan Daerah jika tak puas hati tindakan KPDNHEP

Pemeriksaan Penguat Kuasa KPDNHEP. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun -  Golongan peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil pihak Penguat Kuasa KPDNHEP disarankan untuk merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Kementerian Kesihatan Malaysia yang berdekatan untuk pertimbangan lanjut.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, tindakan yang diambil adalah berkaitan dengan Akta 342 SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan pengumuman kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' Fasa Pertama di seluruh negara.

 

"Tindakan diambil berdasarkan maklumat dan penerangan yang diberikan oleh peniaga semasa operasi dijalankan dan setelah meneliti pematuhan ke atas SOP Majlis Keselamatan Negara dan pendaftaran di sistem CIMS 3.0.

 

"Sehubungan itu, KPDNHEP menyarankan kepada peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil supaya merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Kementerian Kesihatan Malaysia yang berdekatan untuk pertimbangan selanjutnya," jelas KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kenyataan tersebut dibuat bagi menjelas isu yang dibangkitkan dalam media sosial dan portal berita berkenaan tindakan yang diambil oleh Penguat Kuasa KPDNHEP terhadap peniaga-peniaga dan premis.

 

Tindakan tersebut dibuat kerana golongan peniaga yang terlibat didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Dalam kenyataan sama, KPDNHEP turut menasihatkan peniaga supaya mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

 

Pematuhan tersebut termasuk menyediakan dokumen-dokumen yang sah ketika pemeriksaan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP.

 

"Sekiranya peniaga masih belum mendapat kelulusan untuk menjalankan operasi perniagaan, mereka boleh menghubungi pihak kementerian untuk permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut tentang status permohonan mereka di talian 03-88825881/5905 atau melalui e-mel kepada roa@kpdnhep.gov.my," tambah KPDNHEP. - DagangNews.com